MN, PN ramuan terbaik elak PH kembali tadbir negara

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Penyatuan ummah bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) antara ramuan terbaik untuk memastikan negara tidak lagi kembali ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, agenda penyatuan ummah tidak akan mengabaikan golongan minoriti, sebaliknya hak mereka terus terjamin.

“Rakyat sewajarnya menilai kejayaan yang ditunjukkan negeri yang diterajui PN bagi menjamin kemakmuran dan kebajikan rakyat.

- Advertisement -

“Kejayaan itu membuktikan penyatuan ummah mampu menjadi peneraju terbaik demi agama, bangsa dan rakyat,” katanya di sini.

Siti Ashah yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, khemah besar seperti yang diuar-uarkan pihak tertentu bukan penyelesaian untuk membentuk kekuatan politik.

Oleh itu, menurutnya Dewan Muslimat PAS negeri menyokong pandangan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya kerana penyatuan ummah boleh menjadi senjata ampuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Dewan Muslimat PAS komited dengan keputusan PAS Pusat untuk terus mempertahan MN dan memperkasakan PN.

“Kami juga akur apa jua arahan pimpinan PAS dalam usaha mencari solusi terbaik bagi memperkukuhkan muafakat ummah,” ujar beliau.

Baru-baru ini Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah menolak khemah besar sebagai jajaran baharu bagi menghadapi PRU15. – HARAKAHDAILY 23/6/2022

- Advertisement -