Maradona didakwa mati dibunuh: Kakitangan perubatan bakal dibicarakan

Diego Maradona pernah mengecap nama sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik dan tersohor di dunia. (FOTO SSC Napoli/Getty Images)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

BUENOS AIRES: Lapan kakitangan perubatan akan dibicarakan atas tuduhan jenayah cuai susulan kematian pemain bola sepak legenda Argentina, Diego Maradona.

Hakim mahkamah tinggi Buenos Aires, menurut laporan BBC telah memerintahkan perbicaraan atas kesalahan melakukan pembunuhan secara cuai selepas panel perubatan mendapati rawatan yang dijalankan terhadap Maradona terbukti penuh dengan muslihat, atau apa yang dilabelkan sebagai  ‘kekurangan dan penyelewengan’.

- Advertisement -

Maradona meninggal dunia pada 25 November 2020 akibat serangan jantung di kediamannya di Dique Luján, Buenos Aires, pada usia 60 tahun, biarpun beliau sebenarnya telah pulih dan dalam fasa berehat di rumah selepas menjalani pembedahan susulan pembekuan darah pada otaknya, awal bulan itu.

Beberapa hari selepas kematiannya, pendakwa raya Argentina melancarkan siasatan ke atas doktor dan jururawat yang terlibat dalam penjagaan kesihatan bekas pemain kelab tersohor, Boca Juniors, FC Barcelona  dan SSC Napoli itu. 

Legenda bola sepak ini meninggal dunia ketika berusia 60 tahun pada 25 November 2020 (FOTO The Insider.com)

Pada tahun lalu, panel 20 pakar perubatan lain yang dilantik untuk memeriksa kematiannya mendapati pasukan perubatan yang merawat Maradona itu bertindak dalam ‘cara yang tidak wajar, kurang dan melulu’.

Pemeriksaan itu juga membuat kesimpulan bahawa Maradona ‘akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk terus hidup’ dengan rawatan yang mencukupi jika dirawat menggunakan  kemudahan perubatan yang sesuai, yang menurut keputusan mahkamah.

Antara individu yang menghadapi pertuduhan, lapor BBC, termasuklah pakar bedah saraf dan doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque; pakar psikiatri dan psikologi, dua doktor perubatan, dua jururawat dan penyelia mereka. 

Maradona menjulang trofi kemenangan Argentina 3-2 ke atas Jerman Barat pada perlawanan bola sepak akhir Piala Dunia di Stadium Azteca, Mexico pada 29 Jun 1986 (FOTO AFP/Carlo Fumagalli)

Kesemua tertuduh telah menafikan bertanggungjawab atas kematian Maradona, yang mana kelapan-lapan mereka akan dibicarakan mengikut definisi undang-undang pembunuhan berdasarkan kecuaian yang dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia boleh membawa kepada kematian individu.

Kesalahan atas jenayah itu, menurut kanun keseksaan Argentina boleh membawa kepada hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun. Tarikh perbicaraan bagaimanapun masih belum ditetapkan.

Mario Baudry, peguam untuk Diego Fernando, salah seorang anak lelaki Maradona, memberitahu Reuters bahawa legenda bola sepak itu ‘dalam keadaan tidak berdaya’ pada saat kematiannya.

Maradona di samping Dr Leopoldo Luque pada 12 April 2020. (FOTO EFE)

“Sebaik sahaja saya melihat punca kematiannya, saya berkata ia adalah satu pembunuhan. Kami sudah lama berjuang (untuk keadilan buat Maradona) dan inilah (perbicaraan lapan kakitangan perubatan yang merawat Maradona) hasilnya,” katanya.

Prosiding undang-undang itu didorong oleh aduan yang difailkan oleh dua anak perempuan Maradona, iaitu Guininna dan Jana yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan mengenai rawatan susulan terhadap bapa mereka selepas pembedahan otak berkenaan.

Dalam sidang akhbar penuh emosi pada November 2020, Dr Luque menangis, sambil mengatakan dia telah melakukan semua termampu untuk menyelamatkan nyawa Maradona yang dianggapnya sebagai seorang sahabat baik.

Kematian legenda bola sepak Diego Maradona kekal menjadi kontroversi sehingga hari ini. (FOTO BBC)

Pada satu ketika, doktor tersebut berkata kepada wartawan dalam sidang media tersebut: “Anda ingin tahu mengenai apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya? Kerana saya menyayanginya (Maradona), kerana telah menjaganya, kerana telah memanjangkan hayatnya, kerana telah memperbaiki tahap kesihatannya hingga ke akhir hayatnya.”

Dr Loque mendakwa dia telah melakukan ‘semua yang dia boleh (untuk menyembuhkan Maradona), sehingga ke tahap mustahil melakukannya’.

Dalam dunia bola sepak global, Diego Maradona merupakan salah seorang pemain terhebat pernah muncul. Beliau merupakan kapten ketika pasukan Argentina memenangi Piala Dunia 1986, menjaringkan gol ‘Tangan Tuhan’ yang tersohor ketika menentang England pada suku akhir.

Orang ramai memberi penghormatan terakhr buat Maradona di upacara pengebumiannya di Buenos Aires, Argentina pada 26 November 2020. (FOTO AP/Mario De Fina)

Ketika separuh kedua tempoh kerjayanya, Maradona bergelut dengan ketagihan kokain dan diharamkan bermain bola sepak selama 15 bulan selepas diuji positif kokain pada tahun 1991.

Berita kematiannya membuat dunia bola sepak, dan negara asalnya Argentina dalam kesedihan yang mendalam, dengan beribu-ribu peminatnya beratur berjam-jam untuk berjalan mengiringi berhampiran kerandanya di istana presiden di Buenos Aires.

Namun Maradona yang pada kemuncak kerjayanya merupakan salah seorang atlet yang menerima gaji tertinggi di dunia, dan menurut en.as.com mengumpul aset kekayaan mencecah AS$50 juta.

Peguam Mario Baudry mendedahkan kekayaan yang dikumpul Maradona telah dirompak pihak tertentu sejak 2014. (FOTO NewsyList)

Sementara menurut laporan Marca.com pula, aset kekayaan Maradona yang ditinggalkan buat keluarganya dianggarkan antara AS$75 juta hingga AS$90 juta yang termasuk kereta-kereta mewah seperti Rolls Royce Ghost dan BMW i8, serta pelbagai hartanah.

Dalam pada itu The Mirorr bertarikh 15 Februari 2021 melaporkan kenyataan Baudry bahawa lima orang anak Maradona berkongsi peninggalan hanya sebanyak AS$4.9 juta daripada jumlah sebenar kekayaannya, AS$92 juta.

“Diego (Maradona) memiliki jumlah kekayaan mencecah AS$92 juta tetapi hanya AS$4.9 juta telah muncul dalam akaun banknya bersama aset hartanahnya yang terdiri daripada sebuah apartmen kecil, sebuah rumah lama milik Diego dan dua buah kereta.

“Diego memperoleh banyak wang hasil kerjayanya yang gemilang dalam dunia bola sepak tetapi masalahnya ialah dia tidak memilikinya kerana telah dirampas pihak tertentu sejak tahun 2014 lagi,” tegas peguam itu.

Maradona diketahui umum menjalani rutin kehidupan dengan penuh kemewahan ketika di era puncak kerjayanya. (FOTO en.as.com)

Namun menurut Express.co.uk, ketika kematiannya, Maradona meninggal dunia bukan sebagai jutawan mahupun dengan gelaran ‘orang kaya’.

Ini kerana nilai bersih aset Maradona dianggarkan hanya kira-kira AS$100,000, yang dikaitkan dengan masalah ketagihan kokain dan alkohol, kesihatan, undang-undang dan kewangan sehingga menyebabkan kekayaannya berkurangan dengan banyak.

Sedangkan sepanjang kerjayanya sebagai pemain dan jurulatih bola sepak, beliau memperoleh puluhan juta dolar melalui gaji dan tajaan syarikat-syarikat bisnes gergasi.

Dia pernah menantandatangani kontrak yang mencatat rekod dunia dalam kariernya ketika menyertai Barcelona dan SSC Napoli, dan merupakan salah seorang pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia.

Di zaman kemuncak kerjayanya sebagai pemain bola sepak, Maradona meraih kegemilangan bersama kelab bola sepak Itali, SSC Napoli dan Argentina. (FOTO Daily Mail)

The International Business Times melaporkan bahawa kontrak Maradona dengan SSC Napoli memperoleh habuan gaji sebanyak AS$3 juta, bersama dengan sokongan tajaan mencecah AS$10 juta, yang menjadikan jumlah keseluruhan AS$13 juta menyamai lebih daripada AS$26 juta nilai mata wang pada hari ini.

Selain itu, beliau juga menguruskan tujuh kelab bola sepak, termasuk membimbing Argentina ke Piala Dunia 2010. Salah satu peranan terakhirnya sebagai jurulatih ialah di Mexico, yang mana dilaporkan dia memperoleh AS$150,000 sebulan sepanjang kontraknya untuk hanya 11 bulan itu di negara itu, yang bermakna secara keseluruhan dia memperoleh AS$1.65 juta.

Dalam laporannya, Express.co.uk mendedahkan ketika bermain untuk SSC Napoli antara 1984 dan 1991, Maradona mempunyai jumlah cukai yang tidak dibayar mencecah sebanyak AS$22.5 juta.

Maradona sering menjadi tumpuan media sepanjang tempoh berada di kemuncak kerjayanya dalam industri bola sepak global. (FOTO The Times)

Jumlah hutang itu telah diumumkan oleh pihak berkuasa Itali pada 2009, dengan majoriti rang undang-undang menyebutnya sebagai bayaran untuk yuran dan faedah berjumlah AS$14.05 juta.

Sementara menurut laman sesawang Celebrity Net Worth, selama bertahun-tahun polis Itali telah merampas aset Maradona termasuk barangan kemas bagi melangsaikan hutang cukainya, yang dikatakan mencecah kira-kira AS$25.7 juta.

Sepanjang hayatnya Maradona bagaimanapun berterusan mendakwa beliau telah menjadi sasaran secara tidak adil pihak berkuasa Itali yang didakwa gagal memaklumkan kepadanya tentang bil cukai sepanang tempoh bermain untuk SSC Napoli di Itali.

Maradona dikatakan meninggalkan antara AS$75 juta hingga AS$90 juta harta untuk diwarisi keluarganya. (FOTO Marca.com)

Pada 2016, bintang bola sepak itu memberitahu akhbar Itali, Corriere della Sera bahawa denda untuk bil cukainya sudah dibayar pada 2003.

“Saya tidak berhutang apa-apa lagi. Mereka (pihak berkuasa Itali) telah memburukkan saya secara tidak adil sejak 25 tahun lalu dengan bayaran cukai AS$24.5 juta dan dengan denda lambat bayar cukai AS$21.4 juta atas dakwaan melanggar arahan membayar cukai yang kononnya telah diputuskan oleh hakim tetapi ia sebenarnya tidak wujud,” katanya kepada akhbar itu.

“Saya tidak mahu sesiapa pun berada dalam situasi saya. Saya tidak berhutang dengan sesiapa pun. Ramai orang perlu bertaubat atas apa yang telah mereka lakukan kepada saya kerana, walaupun tidak bersalah, mereka telah memperlakukan saya seperti seorang penjenayah yang paling teruk,” tambahnya.

Namun di sebalik dakwaannya, pihak berkuasa Itali menegaskan Maradona masih mempunyai baki berpuluh-puluh juta dolar pada bil hutang cukainya.

Nombor jersi 10 dan nama Maradona akan kekal dikenang sebagai legenda dunia bola sepak global. (FOTO The Mirror)

Kebergantungan Maradona kepada kokain dan alhohol dalam pada itu bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatannya, tetapi juga kerjaya dan kedudukan kewangannya.

Pada 1991, beliau telah didenda sebanyak AS$70,000 oleh tribunal bola sepak Itali kerana kehilangan perlawanan dengan SSC Napoli yang menyaman Maradona kerana didakwa mencemarkan reputasi kelab tersebut akibat penglibatannya dalam penggunaan dadah.

Pada 2014 Maradona dalam kenyataannya kepada Tyc Sports Argentina berkata: “Saya memberikan lawan saya kelebihan besar kerana penyakit yang dialami saya ini. Adakah anda tahu saya akan jadi pemain (bola sepak) jenis apa, jika saya tidak mengambil dadah?”

“Saya berusia 53 tahun tetapi seperti sudah berusia 78 tahun disebabkan hidup yang saya jalani ini tidak normal. Saya telah hidup selama 80 (tahun) dengan kehidupan yang saya lalui ini.” – HARAKAHDAILY 23/6/2022

- Advertisement -