Kelantan lebih Islamik di bawah Umno atau PAS?

- Advertisement -

MEMBACA berita ini pada April dahulu agak kelakar dan sedikit melucukan, apabila Umno mahu bawa Kelantan yang lebih Islamik.

Namun, dua bulan duk menahan diri, akhirnya saya fikir tidak kena jika kita mahu gelakkan Umno Kelantan ini. 

Sepatutnya kita kena rasa bersyukur dan sambut baik kenyataan ini kerana bukan PAS sahaja yang mahu perjuangkan Islam bahkan Umno juga. Mungkin hasil muafakat singkat PAS-Umno di Kelantan mereka belajar sesuatu. 

Pun begitu, untuk meyakinkan rakyat, Umno perlu ada ‘track record’ akan ‘lebih Islamiknya’ mereka daripada PAS. Setidak-tidaknya memperlihatkan kesungguhan. 

Sebagai contoh sebagaimana kesungguhan PAS apabila mentadbir kerajaan-kerajaan negeri. 

Apabila PAS tadbir Kelantan tahun 1990 digubal Enakmen Syariah tahun 1993. Apabila PAS tadbir Terengganu tahun 1999, digubal Enakmen Syariah tahun 2001. 

Ini contoh kesungguhan PAS dalam pelaksanaan Undang-undang Syariah yang ‘lebih Islamik’ dari kerajaan sebelumnya. 

Jika sukar atau tidak sempat untuk dibuat enakmen terutamanya di negeri-negeri Umno yang lain kerana PRU makin mendekat mungkin.

Suka untuk saya cadangkan agar Umno menunjukkan kesungguhan untuk tadbir ‘lebih Islamik’ dengan menyekat lesen judi sebagaimana dilakukan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

Ini dapat memperlihatkan kesungguhan Umno untuk bawa agenda Islam yang lebih Islamik. Ini dapat membantu ‘track record’ Umno yang lebih diyakini untuk bawa Kelantan yang lebih Islamik. 

Jika tidak, Umno hanya dilihat sebagai parti politik yang hanya pandai memetik nama Islam. Satu sudut ianya bagus, namun ianya perlu kepada pembuktian dan menunjukkan kesungguhan.

Saya percaya jika ditanya kepada anak kecil pun, dengan ‘track record’ yang ada antara PAS dan Umno manakah parti yang lebih bersungguh untuk bawa Kelantan yang ‘lebih Islamik.’

Maka, jawapannya PAS lebih menyakinkan dan mempunyai ‘track record” yang lebih baik. Buat masa ini PAS lebih baik untuk Kelantan yang Islamik. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 23/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -