Jangan jatuh lubang sama kali kedua

Tolak 'Khemah besar', bersama ke arah penyatuan ummah

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa gagasan penyatuan ummah merupakan pendekatan terbaik demi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak. Ia juga sejajar dengan kerangka Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang menekankan soal Islam sebagai tunjang penyelesaian selain meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. 

Gagasan penyatuan ummah merupakan sendi yang bangkit daripada rasa cinta akan agama dan negara selain menolak kerakusan pemerintahan dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Pengalaman berada di bawah pentadbiran PH selama tempoh 22 bulan pasca PRU14 sudah cukup memeritkan serta tidak wajar untuk diberi peluang kedua. 

Dewan Ulamak PAS Pusat ingin mengingatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah memberikan peringatan yang jelas. Sesungguhnya seseorang Mukmin tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua.

Koalisi ‘khemah besar’ yang digembar-gemburkan sesetengah pihak bukanlah manifestasi pilihan yang terbaik untuk rakyat Malaysia buat masa ini. Oleh itu, menolak ‘khemah besar’ dan bersama-sama ke arah penyatuan ummah adalah tindakan yang tepat. 

Dewan Ulamak PAS Pusat juga ingin mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersatu di bawah lembayung penyatuan ummah sebagai jalur utama politik negara sekaligus mengekalkan kestabilan politik negara dalam pilihan raya akan datang.

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 23/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -