Amal budaya politik matang untuk kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kami di blok pembangkang akan terus menyokong dan senada sekiranya apa jua tindakan dan keputusan dibuat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Abdul Aziz Talib.

Justeru, katanya budaya politik matang dan sejahtera perlu diamalkan dalam segenap aspek lebih-lebih lagi dalam membahaskan agenda kebajikan dan berkepentingan kepada rakyat Johor dalam persidangan Dun.

Beliau juga melahirkan keyakinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Exco keseluruhan yang rata-rata terdiri daripada orang muda mampu memberi khidmat terbaik untuk rakyat negeri itu.

- Advertisement -

Tambahnya, menteri besar dan exco juga mampu menunjukkan contoh kepimpinan dan teladan yang terbaik buat rakyat Johor dengan mengamalkan kepimpinan yang berintegriti.

Menurutnya, walaupun berlainan blok parti, namun tidak menjadi halangan untuk Onn Hafiz bertegur sapa dengan semua ahli Dewan pada persidangan Dun.

“Itulah contoh kepimpinan tauladan yang kita mahukan,” ujarnya dalam catatan di Facebook beliau, semalam.

Beliau sempat beramah mesra dan saling bertanya khabar bersama menteri besar pada persidangan Dun, kelmarin. (Foto atas)

“Nampak beliau tidak kekok untuk bermesra dengan semua ahli dewan walaupun kami di blok pembangkang,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Muar.

Menurutnya, tugas sulung beliau pada persidangan Dun adalah membawa suara penduduk Maharani.

Katanya, antara perkara dibawa dalam perbahasan ialah isu banjir dan penyelenggaraan saliran sekitar Maharani, Projek Perumahan Taman Perbadanan Islam Johor dan perumahan mampu milik, penyelarasan cuti hujung minggu Jumaat-Sabtu bagi sektor awam dan swasta, integriti asas kepimpinan yang berteladan, mengekalkan Maharani sebagai bandar pelancongan terbersih ASEAN serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan ekosistem di Maharani.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menyempurnakan pembukaan rasmi Penggal Persidangan Pertama Dun yang ke-15 pada 16 Jun lalu.

Dun Johor bersidang hingga 26 Jun ini. – HARAKAHDAILY 23/6/2022

- Advertisement -