Umar pakai kain lebih, rakyat tegur

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 41)

NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

Advertisement

DALAM satu peristiwa, banyak pakaian dan kain tiba dari Yaman. Kain-kain itu dibahagi sama-rata kepada semua orang Islam. Umar mendapat bahagiannya sebagaimana orang lain juga. Tubuh Umar tinggi. Jika dia berjalan di tengah orangramai, kelihatan seperti menunggang (kuda atau unta).

Umar menaiki mimbar, dalam keadaan memakai kain Yaman ini. Beliau berucap menyeru supaya berjihad. Tiba-tiba satu suara kuat datang dari sudut masjid: ‘Tiada dengar, tiada taat’.
Di tengah keheningan suara, Umar bertanya: ‘Kenapa? Semoga engkau dirahmati Allah.’

Lelaki itu berkata: ‘Engkau dapat kain seperti kami dapat. Bagaimana engkau boleh sambung kain sedangkan engkau lebih tinggi dari kami? Tentu engkau ambil kain yang lebih dari kami.’

Umar tidak mengambil tindakan kasar kepadanya. Beliau juga tidak memerintahkan pegawainya menangkap lelaki itu. Sebaliknya beliau memanggil anaknya, Abdullah, untuk ceritakan kisah sebenar mengenai kain itu. Lalu Abdullah jelaskan bahawa dia berikan bahagian kainnya kepada ayahnya supaya dapat disambung kain itu untuk menutup auratnya apabila dia menaiki mimbar.

Mendengarkan penjelasan itu, lelaki tadi berkata: ‘Sekarang kami dengar dan kami taat.’

Pengajaran dari kisah di atas:

1- Pembahagian kekayaan, ekonomi mesti dibahagi secara adil. Adil bermakna meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Mungkin dibahagi samarata. Mungkin juga tidak. Dalam kes Umar di atas, kain dari Yaman itu dibahagi samarata, sehelai seorang, termasuk Umar, sekalipun beliau pemerintah negara.

Dalam kes lain yang banyak, kita dapat lihat ada perbezaan dari segi pembahagian. Di zaman Nabi, golongan Ansar pernah hampir kecewa kerana mereka tidak mendapat bahagian yang sama seperti orang lain, tetapi sebenarnya Nabi ada tujuan berbuat demikian.

Kebijaksanaan dalam siasah syariyyah, serta mengurus kek ekonomi adalah suatu yang sangat penting dalam sebuah negara Islam.

2- Abdullah yang memberikan bahagian kainnya kepada bapanya, menunjukkan tidak salah seorang anak kepada pemerintah negara memberikan haknya kepada bapanya. Apatah lagi dalam.konteks Umar yang tinggi tubuhnya tidak cukup dengan sehelai kain sahaja.

Cuma mungkin dalam realiti semasa, perkara yang boleh menimbulkan syak-wasangka, tohmahan masyarakat perlu juga dijaga.

3- Dengar dan taat kepada pemimpin sangat penting bagi memastikan keharmonian masyarakat. Namun, ketika ada perkara yang dilihat seperti melanggar syarak, sistem atau peraturan; muhasabah, teguran, nasihat boleh dibuat kepada pemimpin.

Dalam konteks semasa, ada banyak saluran untuk menegur pemimpin. Adab, akhlak dijaga. Hikmah mesti diutamakan.

4- Pemimpin mesti berjiwa besar
menerima teguran. Jangan dibalas secara kasar terhadap mereka yang menegur.
Berikan hujah, alasan, bukti, rasional sehingga mereka yang menegur puashati serta kembali taat dan dengar kepada pemimpin.

5- Hebatnya keadilan Islam, sekalipun hanya berkait dengan sehelai kain, anak yang punya. Bagaimana pula dengan himpunan harta yang datang, entah dari mana?

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.