PRU15: Pengundi muda, ‘atas pagar’ penentu politik negara

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh M FAQIH

PADA
siri pertama segmen Celik Siasah, kita cuba mengamati tanggungjawab setiap rakyat kepada negara. Ia berkisar tanggungjawab bagi mencorak kepimpinan negara. Pemimpin negara yang berada di saf hadapan sekarang bukan seperti penjawat awam.

Mereka bukan dilantik kerana memiliki sijil akademik yang berjela-jela. Mereka tidak perlu mengisi borang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk menduduki jawatan menteri, timbalan menteri atau setiausaha politik.

Mereka berada di kedudukan sekarang selepas menang dalam pilihan raya. Parti yang menang dengan majoriti akan diberi mandat untuk mentadbir negara.

Ini yang anak muda perlu fahami. Kerana undi mereka membolehkan wakil rakyat yang menang dilantik menteri. Satu undi besar maknanya. Ini kerana hanya kelebihan satu undi, calon yang bertanding akan diisytiharkan sebagai pemenang.

- Advertisement -

Ketua parti yang menang majoriti akan dilantik sebagai perdana menteri. Dan perdana menteri pula akan memilih pasukan menteri dan timbalan menteri daripada partinya dan parti gabungan.

Kalau sebelum Mei 2018, perdana menteri milik Presiden Umno atau Pengerusi Barisan Nasional (BN). Perdana Menteri pula melantik jemaah menteri daripada komponen BN.

BN ketika itu dianggotai 14 parti komponen. BN diwujudkan pada 1973 menggantikan Perikatan selepas wujud hasil gabungan Umno, PAS, Gerakan, MIC, MCA dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak.

Maka setiap parti dalam komponen BN akan diberi kedudukan sebagai menteri atau timbalan menteri.

Setakat ini BN paling lama menguasai kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan. Maka ketua-ketua parti dalam komponen BN akan diberi kedudukan dalam kerajaan.

Ada antara mereka diberi jawatan menteri, timbalan menteri atau Setiausaha Parlimen. Dalam tempoh 61 tahun BN menguasai pentadbiran negara. Malah BN menjadi parti yang paling lama berada di posisi pemerintah sejak merdeka.

Ia berlaku begitu kerana setiap pilihan raya umum (PRU) BN menang dengan majoriti. Sebelum ini BN tidak ada masalah untuk menang setiap PRU dan pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil.

Kelebihan parti kerajaan

Kedudukan sebagai parti kerajaan memberi kelebihan berganda kepada BN. Sarjana Sains Politik menyifatkan BN ada kelebihan 3M. M tersebut iaitu machinery (jentera kerajaan), money (wang) dan media.                

Bagaimanapun tiba-tiba perubahan berlaku pada PRU 9 Mei 2018. BN akhirnya tumbang kepada gabungan pembangkang. Ia pertama kali berlaku dalam sejarah negara.

Ekoran kejatuhan Umno dan BN, maka perdana menteri datang daripada Pakatan Harapan (PH). Gabungan parti yang membentuk PH menang majoriti pada PRU ketika itu.

PH merupakan gabungan parti PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Manakala parti sekutu PH pula iaitu Warisan, Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia dan Parti Bersatu Sarawak.

Perdana Menteri era PH iaitu Dr Mahathir Mohamad, manakala ketua-ketua parti gabungan mendapat kedudukan sebagai menteri. Presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula mendapat jawatan Menteri Kewangan, Presiden Amanah Mohamad Sabu pula mengisi jawatan Menteri Pertahanan.

Begitu juga ada pemimpin Warisan dan UPKO turut dilantik sebagai menteri kabinet.

Bagaimanapun kerajaan PH tidak mampu bertahan lama. PH tidak mampu mengulangi keupayaan BN mempertahankan kerajaan sehingga enam dekad.

Krisis dalaman PH antara punca usia kerajaan PH singkat. Desakan bertalu-talu PKR dengan menekankan Dr Mahathir supaya ditetapkan tarikh peralihan kuasa antara puncanya.

Hampir setiap hari PKR menekan perdana menteri. Anwar benar-benar tidak sabar untuk menduduki jawatan perdana menteri seperti dijanjikan sebelum kerajaan PH dibentuk.

Krisis dalaman yang berlaku itu menyebabkan hayat kerajaan PH menjadi singkat. Akhirnya pada 24 Februari 2020 pentadbiran negara berubah lagi apabila kerajaan PH tumbang setelah Bersatu keluar daripada PH.

Selain itu 11 ahli parlimen PKR turut bertindak keluar daripada PH dengan diketuai Mohamad Azmin Ali.

Kerajaan PH hanya berusia 22 bulan. Dr Mahathir terpaksa meletak jawatan perdana menteri selepas hilang sokongan majoriti. Inilah faktor sebenar yang berlaku.

Selepas itu muncul pula kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin. PN membentuk pakatan longgar yang disertai PAS, BN, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dengan kemunculan kerajaan PN, maka pemimpin kanan daripada gabungan parti terbabit dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri. Bersatu mendapat jawatan perdana menteri, manakala Umno pula diberi kedudukan sebagai menteri kanan.

Tiga pemimpin PAS juga diberi kedudukan dalam saf kerajaan. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik Menteri Alam Sekitar dan Air, Idris Ahmad pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Takiyuddin Hassan sebagai Menteri Sumber Asli dan Tenaga.

Inilah kronologi politik Malaysia yang perlu kelompok Undi18 fahami. Tugas mereka begitu besar bagi membentuk acuan politik baru di negara ini.

Kehadiran pengundi muda dan kumpulan atas pagar dijangka menjadi penentu hala tuju politik negara pada PRU15. Mereka membentuk kekuatan 5.94 juta pemilih yang berumur 21 hingga 39 tahun. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -