Piala AFC: Giliran KL City, Kedah bukti kehebatan di pentas Asia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC mempunyai kelebihan besar berbanding naib juara Liga Super musim lepas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada kempen Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bermula Jumaat ini.

Diundi dalam Kumpulan H bersama juara Piala Indonesia 2019 PSM Makassar dan wakil Singapura Tampines Rovers, KL City yang dibimbing Bojan Hodak memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.

- Advertisement -

Selepas hanya mencatat dua kemenangan dalam lima aksi terakhir Liga Super, beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata ia amat diperlukan skuad ‘The City Boys’ dalam menghadapi saingan PSM Makassar pada aksi pembukaan Jumaat ini, sebelum bertemu Tampines Rovers 30 Jun kelak.

Di atas kertas, KL City dengan barisan pemain berpengalaman menjadi pilihan meraih tiga mata ke atas PSM Makassar yang dikendalikan Bernardo Tavares selepas kelab itu melalui rombakan besar pemain musim lepas, menyaksikan ramai pemain muda diserap ke dalam pasukan.

Sementara aksi menentang Tampines Rovers dijangka memberi cabaran sebenar kepada KL City dengan skuad bimbingan Gavin Lee itu berjaya mencatat tiga kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Premier Singapura.

Sementara itu, prestasi buruk dialami KDA FC yang gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir Liga Super menjadi persoalan sama ada pasukan dikendalikan Aidil Sharin Sahak itu berupaya mengharungi tiga aksi Kumpulan G di Bali, Indonesia.

Skuad Sang Kenari itu dijadual bertemu pasukan tuan rumah Bali United FC Jumaat ini sebelum menentang Kaya FC-Iloilo dari Filipina (27 Jun) dan wakil Kemboja, Visakha FC pada 30 Jun di Stadium Kapten I Wayan Dipta.

Bali United kendalian Stefano Cugurra dilihat sebagai pasukan pilihan apabila tampil dengan rekod kejuaraan Liga Indonesia dua musim berturut-turut sementara Kaya FC-Iloilo tidak kurang hebat menerusi pencapaian naib juara saingan liga domestik serta layak beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim lepas.

Darjah kesukaran perlu ditempuh KDA bertambah apabila Visakha juga turun bersaing selaku juara pertandingan domestik iaitu Piala Hun Sen dua kali berturut-turut daripada musim 2020.

Bagaimanapun, kekuatan KDA tidak boleh dipandang rendah, malah tidak mustahil untuk mereka sekurang-kurangnya menyamai pencapaian mara ke suku akhir edisi 2008 sekiranya mampu memperbaiki kelemahan dan keluar daripada prestasi buruk ketika ini.

Sekiranya KL City dan KDA berjaya melepasi saingan kumpulan, mereka akan menambah keceriaan kepada penyokong bola sepak tanah air selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mencipta sejarah mara ke peringkat kalah mati ACL dan skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun.

Saingan kumpulan Piala AFC melibatkan KL City dan KDA akan berlangsung secara liga sepusingan dengan juara kumpulan dan satu naib juara terbaik antara tiga kumpulan zon ASEAN akan layak ke peringkat seterusnya.

Sebagai rekod, JDT menjadi kelab dari Malaysia terakhir yang menjuarai Piala AFC pada edisi 2015. – BERNAMA

- Advertisement -