Penyatuan ummah bawa agenda politik matang

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Penyatuan ummah yang dicetus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelihatan lebih segar kerana ia membawa agenda politik matang dan sejahtera bagi mempertahankan hak-hak orang Melayu, institusi agama dan Raja-raja Melayu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Dr Johari Mat berkata, penyatuan ummah lebih dekat dengan jiwa dan naluri orang Melayu/Islam serta rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Katanya, PAS Kelantan mendukung penuh penyatuan ummah seperti terkandung dalam Piagam Muafakat Nasional yang dicetus pada perhimpunan bersejarah pada 14 September 2019.

- Advertisement -

“Malah piagam tersebut turut didukung NGO-NGO yang dianggap mampu merealisasikan agenda ke arah kestabilan politik negara pada masa depan,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya sebarang konflik dalam negara hanya dapat ditangani dengan lebih berkesan melalui penyatuan ummah dan bukannya khemah besar yang diimpikan sesetengah pihak.

Kata beliau impian khemah besar yang dicetus pimpinan baru Pakatan Harapan (PH) terutamanya PKR dianggap mempunyai motif sebagai ‘menyambung hayat’ PH yang semakin ditolak rakyat sekarang.

Kata beliau situasi penolakan rakyat terhadap PH dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini.

“Rakyat masih ingat lagi hak-hak orang Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu jelas tercalar dan tercabar sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan PH sebelum ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru berkata, kenyataan Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah yang tegas menolak khemah besar dianggap tepat dengan mengambil kira situasi politik yang berlaku sekarang. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -