Pentadbiran kerajaan PN Kedah terbukti cemerlang

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kecemerlangan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terbukti lagi apabila jumlah kemasukan pelaburan memberangsangkan tahun ini.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Mohd Azam Abdul Samat berkata, kejayaan itu hasil kerjasama agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya perkembangan itu memberi impak yang positif sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada Mei 2020.

Kata beliau pencapaian itu bukan sahaja membanggakan rakyat Kedah malah berjaya menghampiri sasaran Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang meletakkan sasaran pelaburan RM10 bilion setahun.

- Advertisement -

“PAS Kedah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan cemerlang tersebut yang tentunya membawa pulangan baik kepada rakyat.

“Apatah lagi, kejayaan itu turut mendapat pujian Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali atas proaktif kerajaan Kedah menarik pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini, Menteri Besar mengumumkan Kedah meraih sebanyak RM8.5 bilion nilai pelaburan bagi suku tahun pertama 2022, dan ia dijangka melonjak kepada RM20 bilion menjelang suku kedua.

Mohd Azam yang juga Adun Sungai Limau berkata, sistem Permit Pembinaan Ekspres (E10) yang diperkenalkan di zon perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP) menjadi tarikan utama pelabur.

Oleh itu beliau berharap pimpinan negeri, pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat berganding bahu bagi memacu kemajuan Kedah selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, Kedah Sejahtera & Berdaya Huni.

“Semoga hasrat menjadikan Kedah, tempat orang miskin berteduh, orang kaya berbakti dapat direalisasikan insyaAllah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -