PAS jelajah rumah pelajar cemerlang hulur penghargaan

- Advertisement -

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
PAS menyampaikan penghargaan kepada pelajar cemerlang peperiksaan SPM 2021 di seluruh Sabah tanpa mengira kaum atau agama.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, penghargaan itu disampaikan secara berperingkat yang melibatkan pelajar cemerlang yang tinggal di bandar atau luar bandar.

Katanya program itu dianjur Biro Pendidikan PAS Sabah dengan menyantuni anak-anak muda dan pelajar cemerlang SPM 2021.

- Advertisement -

“Kami berharap pelajar-pelajar terbabit dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan balik semula bagi membantu membangunkan negeri ini.

“Ini kerana Sabah merupakan negeri dan tanah tumpah darah kita,” katanya pada program penyampaian penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM semalam.

Pada program itu seramai 30 pelajar cemerlang SPM 2021 sekitar Sandakan, Batu Sapi dan Libaran menerima penghargaan daripada PAS Sabah.

Hadiah berbentuk wang tunai, hamper dan sijil penghargaan disampaikan kepada pelajar terbabit di rumah mereka masing-masing.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Sahar Abdul Majid dan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Sabah Isaac Wong.

Dr Aliakbar yang juga Adun Sabah berkata, pelajar terbabit mampu menjadi ikon anak muda dalam masyarakat tempatan.

“Saya juga berharap pelajar berkenaan mampu menjadi contoh kepada rakan-rakan lain sebagai suntik semangat untuk terus gigih berusaha,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -