Nilai seorang ulamak

KEMATIAN orang-orang yang soleh merupakan sebahagian dari tanda-tanda kiamat. Sedikit demi sedikit Allah matikan mereka sehingga kurangnya orang yang boleh membimbing manusia. 

Pada ketika itu, orang ramai akan mula meninggalkan agama yang hanif lalu berleluasalah kejahilan, walaupun bilangan Muslim itu ramai.

Daripada Mirdas al-Aslami R.A, Nabi S.A.W bersabda: 

Advertisement

يَذْهَبُ الصَّالِحُونَ الْأَوَّلُ فَالْأَوَّلُ وَيَبْقَى حُفَالَةٌ كَحُفَالَةِ الشَّعِيرِ أَوْ التَّمْرِ لَا يُبَالِيهِمْ اللَّهُ بَالَةً

Orang-orang soleh akan pergi (wafat) satu per satu, hingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang seperti hampas gandum atau kurma, dan Allah tidak menghiraukan mereka sedikit pun.” 

[Hadis Riwayat al-Bukhari no. 6434]

Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.A berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Sesungguhnya Allah tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulamak sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” 

[Hadis Riwayat al-Bukhari no. 100]

Ulamak terdahulu mungkin sudah pergi meninggalkan kita. Namun, mereka meninggalkan kepada kita khazanah dan mutiara ilmu dalam kitab-kitab mereka. 

Kutiplah ia dan jangan memperkecilkan usaha mereka. Begitu juga ulamak yang masih bersama kita. Hargailah mereka dan jangan sesekali melabel mereka dengan panggilan yang tidak sepatutnya.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/6/2022