MyCAC bincang pengurusan banjir, impak perubahan iklim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hala tuju pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan iklim dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia atau Malaysia Climate Change Action Council (MyCAC).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara perkara yang dibincangkan juga pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob itu ialah kesediaan negara menghadapi impak perubahan.

Justeru, katanya tindakan yang akan dilaksanakan ialah membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang dan strategi pembangunan kebangsaan untuk sektor kesihatan awam infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti.

- Advertisement -

Di samping itu, ujarnya menggalakkan kerajaan negeri untuk mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim.

Tambahnya, selain itu mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek-projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir.

Menurutnya lagi, mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia.

“Insya-Allah, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi negara ke Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) ke-27 di Sharm El-Sheikh, Mesir pada November 2022 bagi membincangkan isu perubahan iklim global,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus memastikan keupayaan negara dalam menangani isu perubahan iklim demi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada masa kini dan akan datang. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -