Lupus kenderaan lebih 10 tahun tidak selesai masalah

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR:
Cadangan pelupusan kenderaan yang berusia lebih 10 tahun dianggap tidak menyelesaikan isu kesesakan jalan raya terutama di ibu negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Shehdi Hazrik Shamsudin berkata, kesesakan lalu lintas yang berlaku sekarang tidak hanya disebabkan kenderaan lama yang banyak di jalan raya.

Katanya, kalau diamati sekarang kebanyakan kenderaan di Kuala Lumpur merupakan kenderaan baharu.

- Advertisement -

“Malah ada kenderaan lama yang dijaga rapi dan masih dalam keadaan baik walaupun usia lebih 10 tahun, namun kereta baharu yang tidak dijaga juga boleh membahayakan pengguna.

“Ada anak muda berhujah bayar pinjaman kereta selama 9 tahun, kemudian masuk tahun ke-10 dah nak lupus pula, ini tidak munasabah langsung,” katanya di sini.

Baru-baru ini sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan kenderaan di Malaysia perlu mempunyai had usia tidak melebihi 10 tahun bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Shehdi Hazrik Shamsudin

Shehdi juga berkata, peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya kerana berlaku pertambahan jumlah pengguna.

Katanya sekarang dapat dilihat hampir setiap rumah mempunyai lebih dua kenderaan memandangkan bilangan anggota keluarga bertambah.

Oleh itu kata beliau terdapat pelbagai cara untuk menangani masalah kesesakan jalan raya di ibu negara termasuk menambahkan jumlah lebuh raya dan pengangkutan awam yang lebih efisyen.

“Kerajaan juga perlu mencari jalan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Perkhidmatan komuter, LRT, MRT dan monorel harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Lagi pun purata penggunaan harian pengangkutan awam di negara ini masih belum mencapai tahap separuh maksimum,” ujarnya.

Berdasar statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) pada tahun 2020 menunjukkan penguna harian pengangkutan Komuter MRT, LRT dan lain-lain menurun lebih 50 peratus.

Pada tahun 2019 jumlah penumpang 902,000 namun menurun kepada 438,000 tahun 2020 disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah kata beliau inisiatif pemberian tambang percuma kepada penguna pengangkutan kereta api selama sebulan seperti diumumkan perdana menteri dapat menarik semula keyakinan rakyat. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -