‘Khemah besar’ akan lahirkan PH 2.0

PAS Pahang sama sekali menolak idea ‘khemah besar’ dan tetap memfokuskan kepada agenda Penyatuan Ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

PAS Pahang tetap dengan prinsip yang sejajar dengan prinsip PAS di peringkat pusat untuk berdiri teguh dengan usaha kerjasama politik yang bertujuan menguatkan umat Islam, pada masa sama berdiri di satu perikatan dengan parti bukan-Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Kita tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam di dalam Negara kita untuk bersama-sama membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam, usaha dan prinsip PAS ini adalah bertepatan dengan Perlembagaan PAS yang dasarnya adalah Al Quran, Hadis, Ijma dan Qias, 

PAS tetap menggerakkan usaha muafakat ummah termasuklah di Negeri Pahang untuk menghadapi PH pada PRU15 yang bakal mendatang. PAS tetap inginkan parti-parti Melayu Islam bersatu dan bergabung dengan parti-parti bukan-Islam yang tidak ekstrem bagi mencapai penguasaan di dalam Dewan Rakyat supaya negara dapat diperintah dengan penuh harmoni dan kesejahteraan.

Cadangan khemah besar itu seperti akan melahirkan semula kerajaan PH 2.0, PAS tidak akan terheret sama untuk kembalikan semula negara ke dalam senario kerajaan 22 bulan tersebut. Kita inginkan sebuah negara yang diperintah dengan penuh rasa hormat terhadap kedaulatan agama dan perlembagaannya.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 22/6/2022

Advertisement