Kerajaan wujudkan semula JK Memperkasa Mahkamah Syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan telah bersetuju untuk melantik mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha sebagai Pengerusi JKMMS.

- Advertisement -

“Kerajaan amat yakin dengan kewibawaan serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam akan membantu usaha-usaha kerajaan untuk memperkukuhkan institusi kehakiman syariah,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selain Othman, kerajaan telah bersetuju untuk melantik ahli JKMMS yang terdiri daripada Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii JKSM, Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, Ketua Hakim Syarii, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Ab. Rahman Thobroni Mohd Mansor, Penyandang Kursi lnstitusi Raja-Raja Melayu UiTM, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz, Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato’ Noor Aziah Mohd Awai, Profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Dato’ Dr. Ahmad Hidayat Buang, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, Peguam Dato’ Sulaiman Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Dato’ Seri Dr. Md Yusup Che Teh dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Nassir Abdul Aziz.

Katanya, kerajaan amat yakin dengan gabungan kewibawaan ahli-ahli yang dilantik untuk bersama-sama membuat kajian, memberikan syor dan cadangan serta usaha-usaha ke arah penambahbaikan dan transformasi mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli yang dilantik. Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah.

“Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -