Katak vs ketum

- Advertisement -

MENARIK juga baca manfaat perubatan atas seekor katak. Penemuan oleh Prof Shaw, Pensyarah Farmasi dari Universiti Queen’s Belfast di Ireland berjaya menemui manfaat katak iaitu boleh merencatkan sel kanser, membantu rawatan kencing manis, sakit jantung dan beberapa lagi.

Kajian yang dilakukan oleh pasukan beliau adalah dengan mengambil cairan dari kulit katak dan dilakukan uji kaji makmal, sama ada ada tindak balas positif atau sebaliknya. Penemuan amat mengejutkan semua.

Sehingga terucap dalam kenyataan beliau; kenapa kita semua malu nak menggunakan unsur semulajadi?

“It would be a great shame to have something in nature that is potentially the wonder drug to treat cancer and not aim to do everything in our power to make it work,”

Prof Shaw dan pasukannya telah mengenal pasti dua mini-protein atau peptida pada kulit katak (Waxy Monkey dan katak Giant Firebellied) yang boleh menyekat pertumbuhan salur darah baharu pada penyakit kanser dan membantu pembentukan salur darah baharu bagi penyakit serangan jantung (angiogenesis).

Secara teorinya apabila salur darah baru itu disekat bagi penyakit kanser maka kanser tidak akan merebak dengan cepat. Begitu juga dengan penyakit serangan jantung jika terbina salur darah baharu, ini akan membolehkan penyaluran darah ke otot-otot jantung semakin lancar.

Baik, melalui penemuan terbaharu yang begitu memberangsangkan ini, adakah kita boleh makan katak? Atau kita membuka industri katak dalam negara kerana Malaysia banyak katak dan hidup liar, senang dibiak serta mudah dibela? Kemudian eksport katak-katak itu ke negara jiran yang mungkin meluluskan akta katak atas dasar perubatan?

Tunggu dulu… Kita wajib nilai beberapa situasi di sini. Tak boleh begitu mudah halalkan katak dan jual tanpa satu alasan yang konkrit dan konklusif. Jangan terikut-ikut dengan negara jiran yang sudah halalkan katak.

Sosio-politik dan agama mereka berbeza dengan kita. Begitu juga dengan desakan rakyat serta kecenderungan ahli politik yang sekepala, menjadikan begitu senang mereka menghalalkannya. Tidak semestinya semua perkara dalam negara maju kita kena ikut! Jika begitu, Elgibiti dan gender ke-3 pun kita nak iktiraf juga ke?

Dari sudut perubatan pula, tidak boleh membuat alasan terlalu simplistik (begitu mudah) dengan hanya kajian yang masih di peringkat pra matang (pre-clinical phase). Kajian perlu diteruskan ke atas manusia fasa 1, 2 dan 3, yang melibatkan ramai lagi subjek kajian. Kajian-kajian tersebut perlu dibuat bagi membuktikan dos yang sesuai untuk manusia, kurang kesan sampingan dan ianya stabil untuk dipasarkan.

Ada pula yang menjawab:

Ala doktor makan katak sahaja, buat sup ataupun goreng celup tepung. Tak ada yang mati pun, atau tak pernah jumpa dimasukkan ke ward pun dek kerana makan katak! Apa salahnya?” 

Kalau kita menerima ungkapan seperti ini, adalah satu kesilapan besar dalam dunia perubatan. Kerana ubat-ubat itu melibatkan nyawa manusia. Adakah kita nak tunggu orang mati atau masuk wad dahulukah sebelum kita menentukan kedudukan sesuatu ubat itu boleh digunakan atau tidak? Dos ubat, frekuensi kegunaan, kesan sampingan dan kestabilan adalah asas piawai yang perlu ada.

The Dose Makes the Poison.” 

Kajian lanjutan wajib diteruskan. Jika sudah terbukti, perlu ada ada ejen khusus (biasanya syarikat ubat) yang akan membawa laporan saintifik ubatan hasil extrak katak tersebut untuk diluluskan kegunaan secara berdaftar. Laporan dihantar kepada Pihak Berkuasa Ubat (NPRA).

Kemudian NPRA akan membuat perbincangan dengan beberapa jawatankuasa berperingkat, bagi memastikan sesuatu ubat itu betul-betul sah, selamat dan berkualiti. 

Manakala jika ia melibatkan sesuatu yang haram dimakan sudah pasti majlis fatwa akan dipanggil untuk menentukan hukum. Hukum makan katak dalam agama kita adalah haram.

Jadi di sini memerlukan perbincangan yang jelas dari majlis fatwa ataupun autoriti agama. Mereka akan berbincang lumat dari sudut hukum fekah berdasarkan manfaat dan mudarat dalam menentukan hukum harus ataupun haram ubat tersebut. 

Jika majlis fatwa menghukumkan harus makan, maka halallah ia. Jika sebaliknya haram, maka haramlah ia sama ada makan atau jual atau eksport dan seumpama dengannya.

“Masyarakat Faham, Kami Senang. 
Masyarakat Keliru, Kami Bantu”

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 22/6/2022

Post script: Boleh tukar perkataan katak kepada ketum atau ganja. Prosesnya sama sahaja.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -