‘Ini perjuangan kita untuk memartabat Mahkamah Syariah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menyatakan rasa teruja dan terharu dengan izin Allah berkesempatan bersama para cendekiawan perundangan dan kehakiman syariah, petang tadi.

Sehubungan itu, bagi pihak kerajaan beliau, mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada mantan Ketua Pengarah JAKIM dan mantan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Tan Sri Othman Mustapha atas pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS).

“Beliau juga merupakan seorang tokoh pentadbir yang dihormati dalam perkhidmatan awam Malaysia,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau, malam ini.

- Advertisement -

Menruutnya, selain pengerusi, seramai 11 orang tokoh dalam perundangan dan ahli akademik telah dilantik sebagai ahli-ahli JKMMS.

“Penghargaan dan tahniah saya ucapkan,” ujarnya lagi.

Sejarahnya, kata beliau jawatankuasa itu telah diwujudkan sekitar bulan Ogos 2017 bertujuan untuk meningkatkan dan memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, jelasnya jawatankuasa itu terhenti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau menambah, apabila diberi amanah sebagai menteri, beliau fikir jawatankuasa tersebut perlu diwujudkan kembali.

“Ia perlu bergerak dengan lebih berstruktur dan terancang kerana ini merupakan perjuangan kita semua untuk memartabatkan Mahkamah Syariah,” katanya.

Idris mengharapkan kepada pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa yang dilantik dapat memberi buah fikiran, cadangan dan syor penambahbaikan kepada isu-isu berkaitan pentadbiran perundangan dan kehakiman Syariah di negara ini.

“Kita galas amanah ini bersama untuk menyalakan sinar kepada transformasi institusi kehakiman syariah. Terima kasih atas khidmat bakti ashabul fadhilah semua,” tambahnya.

Beliau berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah diberikan amanah sebagai urus setia jawatankuasa itu.

Selain Othman selaku pengerusi, ahli JKMMS terdiri daripada Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarii JKSM, Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, Ketua Hakim Syarii, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor, Penyandang Kursi lnstitusi Raja-Raja Melayu UiTM, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dato’ Noor Aziah Mohd Awai, Profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Dato’ Dr Ahmad Hidayat Buang, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, Peguam Dato’ Sulaiman Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Dato’ Seri Dr. Md Yusup Che Teh dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Nassir Abdul Aziz. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -