Idea ‘khemah besar’ buka ruang PH bangkit semula

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PAS Perlis yakin agenda penyatuan ummah menjadi solusi terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, gagasan berkenaan pada asalnya bertujuan memastikan hanya berlaku pertembungan satu lawan satu pada PRU15.

Katanya usaha memperkukuh penyatuan itu bersama parti-parti didukung orang Melayu dengan gandingan parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem dianggap mampu melahirkan kestabilan dalam negara.

Advertisement

“Kami menyokong penuh sebarang usaha untuk mengajak seluruh parti Melayu/Islam termasuk Umno dan Bersatu untuk bersama membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam,” katanya di sini.

Oleh itu katanya PAS Perlis turut menyambut baik kenyataan Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah yang menolak idea ‘khemah besar’ bagi menghadapi PRU15 tidak lama lagi.

Menurutnya juga rakyat masih tidak lupa cabaran terhadap orang Melayu dan ketuanan Islam ketika berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“PH melakukan banyak pencabulan terhadap prinsip asas negara yang menjadi tunjang kedaulatan negara serta hak-hak umat Islam dan kaum Bumiputera,” ujarnya.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, idea khemah besar hanya membuka ruang kepada PH untuk bangkit semula. – HARAKAHDAILY 22/6/2022