Harga ayam diapung bermula 1 Julai ini

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Bermula 1 Julai ini subsidi kepada penternak ayam akan dihentikan dan harga ayam diapungkan pada harga RM8.90 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kos pengeluaran dan harga ayam yang ditetapkan kerajaan sebelum ini ditampung subsidi bermula 1 April hingga 30 Jun 2022.

Katanya sebelum ini MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari lalu.

- Advertisement -

“Kerajaan juga meluluskan pemberian subsidi pada kadar RM0.60/kg bermula 5 Februari hingga 30 Mac dan RM1.40/kg bagi tempoh 1 April 2022 hingga 30 Jun 2022,” katanya pada sidang media ketika melawat Bismi Empire Sdn Bhd (BISMI) di Simpang Empat Kangkong semalam.

Kata beliau juga proses mengagihkan subsidi dijalankan bermula 20 Jun lalu dan sebanyak RM200 juta diagihkan melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Agro Bank.

“Kerajaan juga memansuhkan import bahan makanan ternakan melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebagai langkah mengurangkan kos bahan terbabit,” ujar beliau.

Menurutnya juga MAFI dan Jabatan Veterinar akan mengadakan perjumpaan dan libat urus bersama pemain industri yang berperanan penting dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran terjamin.

Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menghentikan bayaran subsidi kepada penternak ayam bermula 1 Julai ini.

Tindakan itu dibuat selepas mendapati ramai dalam kalangan penternak tidak menuntut bayaran subsidi.

Ekoran itu kerajaan akan memperkenalkan sumbangan kewangan terus kepada rakyat terutama golongan B40 untuk meringankan bebanan kenaikan harga barangan keperluan. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -