Bapa sepupu tinggal dadah bersama budak dalam kereta

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerjasama setiap anggota masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kejadian seorang budak berusia tiga tahun sembilan yang didapati tubuhnya mengandungi dadah jenis metaphitamine, tidak berulang.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhammad Zaki Harun berkata, kanak-kanak terbabit kini dalam keadaan kritikal dan sedang ditidurkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Kata beliau keadaan kanak-kanak terbabit tidak stabil dan dalam pengawasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

- Advertisement -

“Ini saya rasa bukan masalah pengabaian tanggungjawab, tetapi masalah tekanan hidup, di mana ibu terpaksa bekerja dan anak-anak tinggal dengan datuk dan nenek.

“Inilah perkara-perkara yang memerlukan kerjasama masyarakat supaya tidak berulang lagi perkara serupa,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan melihat perkembangan kanak-kanak berkenaan semalam.

Menurutnya keluarga kanak-kanak malang itu dihimpit pelbagai kekangan kehidupan di mana ibunya, Rohaya Hassan 36 didapati mengidap kanser payudara tahap empat.

“Saya mengarahkan Polis Daerah Kuala Krai menggerakkan Ops Khas setelah berlaku penahanan bapa sepupu kepada kanak-kanak terbabit.

“Polis menahan sembilan individu berusia antara 18 sehingga 40 tahun, sekitar Dabong Kuala Krai, merampas sejumlah dadah dan kereta yang dinaiki,” ujarnya.

Muhammad Zaki juga berkata polis tidak menolak sebarang kemungkinan bapa sepupu budak terbabit mengambil dadah sambil membawa keluar kerana datuk dan neneknya ke Johor.

Kata beliau siasatan polis juga mendapati kanak-kanak terbabit ditinggalkan sendirian dalam kereta yang mungkin terdapat lebihan dadah yang digunakan dalam kenderaan itu.

“Sekarang kita membuat ops khas di Sri Bintang dan menangkap 9 individu dengan pelbagai kesalahan. Polis juga merampas kereta yang dinaiki bapa sepupu anak terbabit.

“Kita rampas untuk buat pemeriksaan dan siasatan, mungkin kanak-kanak ini terkena dadah yang ada dalam kereta, kita akan buat siasatan lanjut,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -