Aspek keselamatan nelayan laut dalam negara masih jauh terbelakang

- Advertisement -

LUMUT: Sebagai nelayan laut dalam, Che Lat, 61, tahu bahaya yang menunggunya saban hari ketika meredah ombak samudera demi sesuap nasi.

Ancaman lanun dan nelayan asing – belum lagi mengambil kira ketidaktentuan cuaca – antara malang tidak berbau yang berisiko meragut nyawanya jika tersilap langkah.

“Saya tahu pekerjaan ini sangat bahaya, tetapi apa lagi pilihan yang saya ada? Saya tidak tahu buat kerja lain untuk menyara keluarga dan sekolahkan anak-anak,” ujar lelaki warga emas bersuara garau itu kepada Bernama.

Dia adalah antara puluhan nelayan yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Operasi Pemantauan dan Pengawasan Vesel Penangkapan Ikan Zon Utara Tengah Siri 1 bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) baru-baru ini. Bernama satu-satunya wakil media yang berpeluang menyertai operasi itu. 

Bercerita lanjut, Che Lat yang sebelum ini adalah nelayan pantai, berkata sekalipun sudah lebih sedekad bergelar nelayan laut dalam, hingga kini dia masih gementar setiap kali turun ke laut, mengenangkan bahaya yang mungkin menimpa.

Tambahan pula vesel yang dinaiki nelayan dari Perak itu juga tidak dilengkapi alat keselamatan yang sempurna.

“Saya reda sahaja sekiranya ada perkara tidak baik berlaku kerana sedar alat keselamatan di vesel saya bekerja ini tidak diselenggara dengan baik. Saya hanyalah pekerja (nelayan) di vesel itu, di bawah seliaan tekong,” katanya yang kemudian dibebaskan oleh pihak berkuasa.

Gadai nyawa nelayan

Tindakan majikan tidak menyediakan alat keselamatan seperti pemadam api, jaket keselamatan dan juga peralatan untuk mempertahankan diri sekiranya diancam penjenayah di laut, bagaikan sengaja menggadai nyawa awak-awak. Namun menurut Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), perkara itu berleluasa.

Pemerhatian Bernama ke atas beberapa vesel nelayan yang ditahan dalam operasi itu termasuk yang dinaiki Che Lat, mengiakan dakwaan NEKMAT.

“Sudah lama mereka berdepan isu ini dan saya lihat kepentingan teknologi wajar dititikberatkan dalam kalangan tekong agar dapat disediakan persekitaran pekerjaan yang selamat buat nelayan laut dalam,” kata Pengerusi NEKMAT Abdul Hamid Bahari ketika dihubungi Bernama.

Tambah beliau, selain kelengkapan keselamatan lazim, sesebuah vesel laut dalam juga perlu dilengkapi peranti pengesan yang amat penting sekiranya terkandas di laut akibat kerosakan dan lain-lain.

Berkongsi pengalaman sendiri, Abdul Hamid yang juga nelayan laut dalam, berkata keadaan diburukkan lagi oleh liputan komunikasi di laut negara ini yang masih lemah.

“Saya bersama kru kapal terpaksa menunggu selama beberapa hari di atas vesel dan harapan kami ketika itu hanyalah kepada mana-mana nelayan laut dalam yang kebetulan lalu di kawasan itu,” katanya.

Data DOF menunjukkan sebahagian besar bot nelayan berlesen di negara ini masih tidak dilengkapi Pengesan Lokasi Individu (PLB) – daripada 48,826 vesel berlesen, hanya 2,480 mempunyai Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kapal. 

Ancaman lanun dan senjata api 

Penggunaan PLB amat penting khususnya di lokasi yang tidak mempunyai liputan komunikasi. Ini kerana dengan hanya menekan butang kecemasan, isyarat akan terus dihantar ke Pusat Operasi Maritim yang kemudian menggerakan operasi carilamat.

Kepentingan PLB dan AIS turut ditegaskan oleh Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) yang mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan peranti terbabit dipasang di atas setiap vesel yang berkenaan. 

Difahamkan pemasangan AIS dan PLB tidak dijadikan syarat lesen vesel nelayan di negara ini.

“DOF telah memperkenalkan 12 garis panduan di bawah program Pemodenan Vesel, dan mekanisasi tangkapan serta peralatan komunikasi seperti ini adalah yang sepatutnya diwajibkan.

“AIS atau peralatan seumpamanya juga telah diwajibkan di bawah piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa, justeru pemodenan kapal nelayan adalah amat diperlukan,” kata Presiden AMIM Soo Jee Main kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan kerajaan menimbang kebenaran tekong membawa senjata api bagi mempertahankan diri dan anak kapal sekiranya berlaku serangan lanun atau diganggu nelayan asing yang agresif.

Berdasarkan Laporan Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Pelanunan dan Rompakan Bersenjata ke atas Kapal di Asia (ReCAAP), berlaku satu serangan lanun di perairan negara ini pada tahun lepas dan tiga insiden pada 2020.

Selain itu, Soo juga menggesa penguatkuasaan undang-undang terhadap nelayan asing laut dalam, khususnya di kawasan melebihi 40 batu nautika (74 kilometer dari pantai), ditingkatkan.

“Penguatkuasaan juga perlu tegas sepertimana di Indonesia, yang mana mereka (Indonesia) mengenakan caj bagi bot asing dan melihat tindakan itu sebagai mencabar kedaulatan negara, bukan sekadar menceroboh perairan negara,” katanya. 

Apakah nelayan dilindungi?

Menyentuh berkenaan dasar negara berhubung pemilikan senjata api termasuk dalam kalangan penguat kuasa undang-undang laut seperti DOF, Abdul Hamid berkata usaha memperkasa agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis marin dan tentera laut mampu membawa impak positif dalam menangani isu pencerobohan perairan negara.

“Saya harap kerajaan memberi perhatian terhadap sektor ini dengan meningkatkan aset-aset penguatkuasaan, tambah jumlah kakitangan menjaga perairan laut kita,” katanya yang turut berpandangan pasukan keselamatan dan penguatkuasaan maritim negara ini masih serba kekurangan.

Tegasnya, secara tidak langsung situasi itu menyebabkan persekitaran pekerjaan sebagai nelayan terus berisiko kepada ancaman penjenayah laut selain memberi ruang untuk khazanah marin negara dicuri oleh nelayan asing.

Pada masa sama, mungkin ramai nelayan yang tidak tahu bahawa hak mereka bersabit keselamatan dilindungi oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA).

Sehubungan itu kata Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Dr Shawaludin Husin, amat penting bagi pemain industri perikanan negara menjalankan penilaian risiko di samping mengambil langkah yang selaras dengan prinsip asas OSHA.

“Majikan perlu memastikan semua pekerja termasuklah nelayan, memakai alat keselamatan yang telah disediakan seperti jaket keselamatan, manakala bot dan vesel dilengkapi alat pemadam api dan sebagainya.

“Malah, mereka juga perlu mempunyai langkah-langkah kawalan bagi semua risiko yang telah dikenal pasti, dan ini boleh dicapai menerusi latihan serta penyediaan kelengkapan yang berfungsi dengan baik,” katanya.

Stigma 3D

Sebelum ini dilaporkan rakyat negara ini antara populasi dunia yang paling banyak makan hasil laut, sekali gus mencerminkan betapa pentingnya industri perikanan negara kepada rantaian bekalan makanan domestik.

Namun, rata-rata mereka yang bekerja sebagai nelayan adalah golongan pertengahan usia yang telah berkecimpung dalam bidang itu sejak remaja selain warga asing. Golongan muda sedia ada pula menjauhkan diri daripada pekerjaan yang dianggap mereka sebagai 3D (dangerous, dirty and difficult – bahaya, kotor dan sukar).

Justeru, Dr Shawaludin berpendapat isu keselamatan itu harus ditangani agar dapat menarik golongan muda, sekali gus menjamin kelangsungan sekuriti makanan negara.

Menurutnya, bertentangan dengan tanggapan ramai, bidang perikanan khususnya nelayan laut dalam, mampu memberi pulangan lumayan, namun aspek persekitaran kerja harus ditambah baik termasuk memastikan keselesaan anak kapal semasa bekerja.

Ini termasuk penyediaan tandas dan tempat tidur yang selesa. 

Walaupun Akademi Perikanan Malaysia melahirkan ramai lulusan, tidak semuanya berakhir sebagai nelayan. Ini disebabkan industri perikanan negara masih lagi berkonsep tradisional, sedangkan di negara maju industri tersebut sudah berkembang seiring pergerakan teknologi.

“Saya yakin, sekiranya kerajaan mengambil perhatian isu keselamatan yang dihadapi nelayan, (mengadakan) inisiatif latihan, naik taraf aset dan mempergiat pemodenan teknologi industri perikanan, pendekatan itu akan mewujudkan gelombang baharu seperti Felda yang merupakan industri pertanian, namun kini menjadi tumpuan golongan belia.

“… pasti ramai anak muda yang tertarik untuk menceburi pekerjaan nelayan apabila aspek keselamatan diambil perhatian selain penggunaan teknologi dalam industri ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -