UMNO nampaknya bersungguh-sungguh mahu adakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan segera. Mungkin kerana keputusan PRN Melaka dan Johor memihak kepada mereka yang membuat mereka begitu yakin. Walau bagaimanapun bagi pengkaji politik, kemenangan tersebut terhasil kerana sebahagian besar pemilih telah enggan menunaikan tanggungjawab mereka. Mungkin kerana telah muak dengan gelagat ‘orang politik’ di negara kita atau merasakan nasib mereka tidak akan berubah walaupun mereka keluar mengundi.
Justeru itu faktor utama yang akan memenangkan BN dan Umno pada PRU jika mereka menang adalah peratus keluar mengundi yang rendah. Jika ini berlaku di mana pemilih di atas pagar dan yang tidak berparti mengambil keputusan untuk duduk di rumah maka BN dan Umno akan menang dengan undi teras atau ahli-ahli parti mereka. Memang tidak dapat dinafikan Umno memiliki bilangan ahli yang ramai berbanding dengan parti-parti lain.
Strategi mendesak bertubi-tubi agar diadakan PRU dengan segera bukan sahaja memberi tekanan ke atas Perdana Menteri tetapi boleh menimbulkan rasa benci pemilih terhadap politik. Terdapat 2 kemungkinan apabila rakyat membenci politik atau dengan lebih tepat permainan politik yang sedang berlaku.
Pertama rakyat enggan keluar beramai-ramai seperti yang berlaku pada PRN Melaka dan PRN Johor justeru Umno dan BN akan menang mudah. Kemungkinan ini yang perlu diharap-harapkan oleh Umno jika mahu menang. Keputusan ini tidak langsung ada kena mengena dengan stabiliti dan kemakmuran yang dilaungkan oleh Umno.
Kemungkinan kedua adalah rakyat tidak akan berdiam diri. Mereka nampak siapa yang bersungguh-sungguh mahukan pilihan raya demi untuk menyelamatkan batang leher mereka. Mereka nampak siapa yang hanya bermain politik tanpa memikir nasib rakyat. Pada kemungkinan kedua ini, rakyat tidak berdiam diri tetapi keluar untuk menghukum mereka yang mementingkan diri sendiri. Kemungkinan ini yang digeruni oleh Umno dan BN.
Pada hakikatnya Umno akan mengambil risiko yang besar jika benar PRU akan diadakan awal. Mungkin mereka terlupa atau ‘under estimate’ pengundi-pengundi muda atau Undi18. Dengan pendaftaran automatik, terdapat 5.8 juta pemilih baharu dan dengan 15.3 juta sedia ada jumlah pemilih adalah 21.1 juta. Lebih 27 peratus adalah pemilih yang baharu. Dari jumlah tersebut 1.2 juta pemilih berumur di antara 18 hingga 20 tahun atau 5.7 peratus dari keseluruhan pemilih.
Satu lagi fakta yang menarik adalah bilangan pengundi di antara 21 hingga 40 tahun telah meningkat berbanding ketika PRU tahun 2018. Jika PRU di adakan pada tahun ini sepertimana yang dituntut oleh Umno, 58 peratus pengundi adalah di dalam peringkat tersebut berbanding 40 peratus dalam tahun 2018.
Peningkatan 18 peratus pemilih di bawah 40 tahun adalah satu jumlah tidak boleh dipandang ringan. Sementara 1.2 juta peratus atau 5.7 peratus pemilih di antara 18 hingga 20 tahun adalah juga satu jumlah perlu dipandang serius oleh parti-parti politik. Mereka akan menjadi penentu malah ‘kingmaker’ jika berlaku perpecahan undi apabila beberapa parti politik bersaing.
Sebelum ini terdapat mereka yang menyatakan pandangan bahawa pemilih-pemilih muda ini tidak matang. Kononnya mereka senang disogok dengan menawarkan mereka telefon bimbit atau ‘sim card’. Kononnya mereka senang tertarik dengan calon-calon yang ‘handsome’ atau cantik. Tetapi sebenarnya pandangan-pandangan seperti ini adalah satu cerita dongeng seperti naga di Tasik Cini.
Generasi muda hari ini adalah lebih bermaklumat dari ibu bapa mereka. Pemikiran generasi TikTok dan Instagram ini bukan kosong tetapi sarat dengan pelbagai maklumat. Sama ada maklumat itu benar atau tidak bukan isunya. Cabarannya bagaimana untuk menyaingi maklumat-maklumat tersebut. Sudah tentu cara lama tidak lagi sesuai.
Saya pernah merungut di hadapan anak saya sebelum beliau menduduki peperiksaan SPM mengenai sebuah projek kerajaan yang tidak berjaya. Dengan selamba beliau menjawab kalau projek tidak berjaya sudah tentu telah diberikan kepada kroni. Begitu kritikal anak muda hari ini. Mereka bukan ‘kosong’ dari segi politik seperti ramai yang andaikan. Kita tidak boleh menyogok maklumat kepada mereka tanpa memberikan justifikasi. Mereka banyak bertanya dan kita mesti menjawab. Zaman ibu bapa boleh berkata, “Ikut sahaja apa yang ayah dan emak undi telah lama berlalu”.
Baru-baru ini keputusan SPM untuk 2021 telah diumumkan dan jika PRU diadakan tahun ini, ramai yang menerima keputusan peperiksaan tersebut akan dapat mengundi untuk menentukan parti atau parti-parti mana yang akan menjadi kerajaan. Malah bukan sahaja mengundi tetapi juga boleh menjadi calon pada PRU tersebut. Mungkin ada yang macam tidak percaya terhadap perkembangan ini. Hanya beberapa bulan selepas menjawab soalan SPM mereka berhak memilih siapa wakil rakyat mereka. Tetapi ini adalah realiti yang kita perlu hadapi.
Di antara yang sikap yang paling ketara pada anak muda hari ini adalah mereka tidak suka dikongkong. Mereka tidak mahu ‘ditunjuk-tunjuk’ atau ‘disuruh-suruh’. Mungkin ada yang boleh tetapi kita mahu menarik kesemua dan bukan hanya segelintir. Zaman di mana satu program sesuai untuk semua juga telah berakhir. Perlu ada kepelbagaian. Bukan sekadar futsal dan menukar minyak motosikal sahaja. Perlu kreatif.
Ketika ADUN dahulu saya pernah dijemput untuk merasmikan pertunjukan ‘Street Dancing’ di sebuah kompleks membeli-belah. Peserta-pesertanya terdiri dari anak-anak muda dan saya terkejut dengan fesyen pakaian dan rambut mereka yang berwarna-warni. Mereka datang dari kawasan saya tetapi saya tidak pernah berjumpa dengan mereka. Ketika itu saya terfikir hampir mustahil untuk parti politik seperti PAS melalui Pemuda atau Ameerah untuk menembusi mereka. Terdapat banyak ‘subculture’ di kalangan anak muda yang kita tidak sedar.
Awal tahun ini saya mencari kedai menjual CD dan melalui internet berjumpa dengan sebuah kedai di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Di sana saya terkejut kerana terdapat CD-CD yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan (band) ‘independent’ atau ‘Indie’ iaitu kumpulan yang tidak bernaung di bawah label rekod utama. Tidak terkira berapa banyak. Ada CD yang mereka hasilkan membawa isu-isu politik. Sekali lagi saya terfikir bagaimanakah parti-parti politik hendak menembusi anak-anak muda ini atau mengadakan ‘engagement’dengan mereka? Mereka ini bukan tidak peduli dengan perkembangan politik tetapi mereka memiliki pendirian tersendiri. Sudah tentu memerlukan pendekatan dan sikap yang baharu. Jangan ‘underestimate’ mereka.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 22/6/2022
Anak muda yang pelbagai
- Advertisement -