52 keluarga diami tanah PKINK setuju pindah

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Seramai 52 daripada 53 keluarga yang mendiami dan menyewa premis di PT 79, Seksyen 5, Jalan Atas Paloh dekat sini bersetuju berpindah ke perumahan yang ditawarkan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Daripada 52 keluarga itu 36 daripadanya ditawarkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Kelochor, Kota Bharu.

Manakala 16 keluarga lagi ditawar berpindah ke RMMK Raudhah PKINK Badang.

PKINK pada kenyataan memberitahu agensi itu turut memberikan insentif sebanyak RM1,000 kepada ketua keluarga yang bersetuju berpindah.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak RM500 dibayar sebelum berpindah dan baki RM500 dibayar setelah selesai berpindah.

“Persetujuan itu dicapai sejak awal lagi sebelum kontraktor yang dilantik membuat perobohan rumah tersebut di atas tanah milik PKINK secara berperingkat,” katanya pada kenyataan hari ini.

Perobohan fasa satu pada 1 Mac 2020 melibatkan sebanyak 20 rumah, fasa kedua 9 November 2020 sebanyak 18 rumah.

Bagaimanapun katanya, pada 28 Disember 2020 seramai 16 individu membuat bantahan dan membawa kes ke mahkamah.

Menurut PKINK berikutan kes itu dibawa ke mahkamah, kerja-kerja perobohan terpaksa ditunda sehinga mendapat keputusan mahkamah.

“Pada 26 April 2022 keputusan mahkamah memihak kepada PKINK dan kerja-kerja perobohan fasa ketiga diteruskan bermula 19 Jun lepas yang membabitkan 14 rumah.

“Perobohan fasa ketiga itu dilakukan membabitkan lima rumah dan 20 Jun pula sebanyak empat rumah lagi. Baki lima lagi PKINK bersetuju menangguhkan kerja-kerja perobohan buat masa ini,” katanya.

Oleh itu PKINK mengambil perhatian serius dakwaan pihak tertentu kononnya menzalimi penduduk setinggan di kawasan berkenaan. Sedangkan tanah berkenaan milik PKINK.

“Lagi pun ruang perbincangan antara penghuni kawasan terbabit dengan PKINK telah diadakan dengan secara terbuka dan mengambil masa yang lama,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2022

- Advertisement -