SRITI Al-Qawwam mohon sumbangan bina bangunan sekolah

Kerja-kerja penambunan tanah di atas tanah wakaf seluas 1.7 ekar hampir selesai.
- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

NIBONG TEBAL: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Qawwam Nibong Tebal memerlukan sumbangan dana sejumlah RM3.7 juta bagi keperluan pembinaan bangunan sekolah berkenaan.

- Advertisement -

Mudirnya, Abdul Mushawwir Abd Rashid, 31, berkata keperluan memiliki bangunan sendiri amat penting memandangkan pertambahan murid dari tahun ke tahun sejak mula ditubuhkan pada tahun 2019.

Ujarnya, pembinaan bangunan sekolah SRITI Al-Qawwam akan didirikan atas tanah seluas 1.7 ekar yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah.

Setakat ini kata Abdul Mushawwir urusan hitam putih berkenaan pemilikan tanah telah selesai dan pihaknya sedang melakukan kerja-kerja penambunan tanah.

Mudir SRITI Al-Qawwam, Abdul Mushawwir Abd Rashid.

SRITI Al-Qawwam Nibong Tebal beroperasi pada tahun 2019 dengan jumlah murid seramai 14 orang dan 3 orang guru di bangunan sementara yang terletak di Taman Seri Acheh selama setahun.

Pada tahun berikutnya, mereka terpaksa berpindah di bangunan rumah kedai dekat Taman Keramat Permai ekoran pertambahan murid sejumlah 90 murid terdiri daripada tahun 1 sehingga tahun 4, 9 guru dan seorang kakitangan.

“Kami juga memerlukan dana untuk pengurusan sekolah ini kerana amat bergantung kepada sumbangan orang ramai, dan yuran murid. Dengan gaji guru dan bil-bil utiliti, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM30,000 sebulan,” kata Abdul Mushawwir.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini jumlah terkumpul bagi pembinaan bangunan sekolah hasil sumbangan orang ramai mencapai sebanyak RM300,000.

Dia ditemui dalam program gotong-royong membersihkan kawasan tapak pembinaan SRITI Al-Qawwam bersama guru-guru, pemuda PAS Nibong Tebal dan orang kampung.

Katanya, bangunan SRITI Al-Qawwam Nibong Tebal membabitkan pembinaan 18 buah kelas dan bilik kemudahan untuk murid seperti perpustakaan dan makmal komputer.

“Saya harap mungkin kita membina atas sumbangan dan wakaf daripada orang ramai, jadi pengharapan yang kita nakkan adalah kita ingin merealisasikan satu institusi pendidikan berteraskan Islam untuk kawasan Nibong Tebal.

Tempat operasi sementara SRITI Al-Qawwam Nibong Tebal di bangunan rumah kedai dekat Taman Keramat Permai dekat sini.

“Kalau ikutkan jumlah kiraan sekolah rendah agama di Seberang Perai Selatan cuma ada dua sahaja, iaitu Ad-Dinniah dan SRITI Al-Qawwam.

“Alhamdulillah ini merupakan satu peluang kepada kita untuk tidak membezakan akademik dan agama dengan sumbangan wakaf daripada orang ramai,” kata Abdul Mushawwir.

Sumbangan boleh disalurkan kepada SRITI Al-Qawwam Nibong Tebal melalui Bank Maybank – 558417512059. – HARAKAHDAILY 21/6/2022

- Advertisement -