KKM tidak bertegas dalam isu ‘produk sampah’?

- Advertisement -

SAYA sedar dan prihatin kebimbangan saudara mengenai lambakan produk-produk yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan. Bahkan kebanyakan mereka menggunakan teknik menipu dalam membuat iklan di media sosial. Pernah saya bertanyakan rakan-rakan di bahagian penguatkuasa farmasi berkaitan dengan isu penjualan produk-produk di media sosial.

Mereka sememangnya telah pun wujud unit penguatkuasa media sosial untuk memantau dan menjejaki mana-mana produk yang terlarang ataupun tidak diluluskan serta melanggari Akta yang berkaitan. Namun lambakan produk-produk tersebut menjadikan penguatkuasaan begitu sukar dan rumit. 

Antara faktor yang menjadikan ianya sukar adalah:

1. Produk-produk itu tidak mempunyai premis yang betul. Maknanya jika diselidiki profile Facebook atau laman media sosial mereka, tidak dinyatakan di mana produk ini dibuat dan dipasarkan. Mereka hanya menggunakan modus operandi hantar melalui pos sahaja. Nombor telefon dan alamat pengirim boleh ditipu oleh sesiapa sahaja. Dengan kata lain, pihak berkuasa tidak dapat menjejaki dengan betul di mana mereka menginap. Jadi pihak berkuasa tak dapat menjalankan serbuan.

2. Kebanyakan produk-produk ini tidak didaftar di bawah KKM atau mana-mana kementerian yang melibatkan jual beli. Jadi, maklumat lengkap berkaitan dengan pendaftaran mereka, nama syarikat dan seumpama dengannya tidak dapat dijejaki.

3. Kementerian Kesihatan tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan pos-pos melalui Facebook kerana posting berkenaan mungkin tidak menyalahi standard komuniti yang ditetapkan oleh Facebook. Undang-undang Facebook tidak dibuat oleh kerajaan kita, tetapi Facebooksendiri yang mempunyai standard komuniti ataupun undang yang tertentu. Jadi tidak boleh kita wewenang menyuruh Facebook untuk menyekat mana-mana profile yang dikatakan menipu itu.

4. Lagipun terlalu banyak profile palsu yang diwujudkan oleh penjual produk untuk mempromosikan produk mereka dan ianya kerap bertukar-tukar nama profile. Ini adalah salah satu teknik yang digunakan bagi mengelakkan mereka dicekup. Tetapi ingat, sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah juga. Pernah kena sita produk sembur dalam hidung untuk merawat kencing manis tahun 2019 lalu

Di sinilah penting untuk memperkasakan pengetahuan ahli masyarakat supaya faham isu ini. Kesedaran perlu wujud dalam masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan produk-produk palsu yang menipu dalam penjualan mereka. Tugasan kita adalah membuat laporan setiap akaun Facebook yang telah menggunakan profile menipu tersebut. Moga-moga Facebook akan menurunkan posting atau sekat profilemereka jika ramai dalam kalangan kita yang membuat laporan.

“Masyarakat Faham, Kami Senang. 
Masyarakat Keliru, Kami Bantu”

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY21/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -