Filem Mat Kilau dan isu waris

- Advertisement -

MEMBACA perbincangan atas talian mengenai isu filem Mat Kilau dengan kumpulan yang mendakwa waris yang tidak berpuas hati atas sebab tidak dihubungi dan diberi peluang untuk memberi input dan sebagainya membuatkan penulis mengimbau kenangan enam bulan lepas usai menerbitkan buku secara mandiri.

Seperti yang dapat dilihat ramai buku ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’ mengabadikan kulit buku seorang tokoh pahlawan Banjar asal Barabai, Kalimantan yang dihukum kejam. 

Almarhum Syahid Kiyai Demang Lehman dihukum gantung sampai mati oleh Belanda setelah berjaya ditangkap dengan tipu helah. Kiyai Demang Lehman bersama panglima-panglima yang bersama beliau yang berani berjuang melawan penjarah kuku besi sememangnya tidak disenangi Belanda. 

Bencinya Belanda terhadap Almarhum Syahid Kiyai Demang Leman dapat dilihat apabila kepala jenazah Almarhum dipotong diceraikan daripada badannya dan dibawa pulang ke Belanda. 

Terkini terdapat sumber yang mengatakan ianya masih disimpan di Leiden, Belanda. Sesungguhnya ianya satu penghinaan bagi Almarhum dan ahli keluarga. Mungkin juga satu bentuk amaran daripada imperialis Barat terhadap ‘degenerating savages‘ yang berani ‘mengangkat muka’ menongkah arus berlawan dengan kompeni dan kekuatannya.

Memerangi kompeni juga merupakan perjuangan melawan kuasa asing bagi memerdekakan tanah air tercinta sama seperti yang digerakkan oleh Almarhum Mat Kilau sendiri dan mereka yang seangkatan dengannya.

Itulah intipati yang mahu disampaikan buku esei politik dan isu semasa ini. Ianya bukanlah sebuah biografi Almarhum Syahid Kiyai Demang Leman. Wajah Almarhum yang menghiasi kulit buku sekadar ‘homage’kepada semua pejuang agama, bangsa dan tanah air yang masih tekad berjuang sehingga kini di Tanah Melayu dan Gugusan Kepulauan Melayu.

Modus operandinya mungkin jauh berbeza kini, namun semangat juangnya tetap sama.

‘Otak Melayu Aku’ juga mahu dialog mengenai susuk Almarhum Syahid Kiyai Demang Lehman terus mengalir dan menjadi ‘cry battle’supaya tengkorak Almarhum Syahid dipulangkan semula selari dengan usaha yang dibuat kerajaan tanah kelahiran Almarhum. 

‘Otak Melayu Aku‘ banyak berbicara mengenai isu ketuanan Hidutva seperti yang semakin dapat kita lihat baru-baru ini di India dan juga Malaysia seperti yang diperbincangkan pada Esei 29. 

Esei 10 yang bertajuk ‘Charlie Hebdo & Delusi Kebebasan Bersuara Di Barat‘ pula bercakap mengenai tokoh seperti Geert Wilders dan mereka yang sewaktu dengannya yang mahu kita semua berlapang dada apabila Nabi Muhammad S.A.W dihina sedangkan berkali-kali mereka dibuktikan bersikap hipokrit!

Isu-isu lain yang disinggung buku ini ialah isu hidangan pork free, Dong Jiao Zong, gerakan Liberalisme dan Pluralisme dan beberapa tokoh yang terkait.

Inilah yang bakal dibaca oleh ‘waris’ yang menghubungi talian telefon dan yang meninggalkan mesej audio di WhatsApp menegur, jika buku ini mereka baca. Ada juga yang mempersoalkan isu kredit foto yang digunakan. Untuk makluman semua kredit kepada semua yang terlibat ada diberikan seperti yang dicetak dalam buku.

Terbaru dikatakan ada waris yang telah dihubungi pihak produksi filem Mat Kilau cuma waris yang lain dan bukannya waris yang satu lagi. Begitulah agaknya kisah tokoh sejarah bangsa dan waris mereka yang tentunya bukan seorang jumlahnya.

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) merangkap penulis buku esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’’ – HARAKAHDAILY 21/6/2022

- Advertisement -

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -