Sokong aktiviti sukan selagi tidak bercanggah syariat

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PASIR MAS:
Penganjuran sukan lasak motocross di Kampung Teluk Kerengga mampu memberi suntikan semangat kepada golongan belia untuk terlibat dalam aktiviti tersebut.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap apa sahaja program selagi tidak bercanggah syariat.

Menurut beliau, Islam mengalakkan umatnya mengamalkan gaya hidup sihat serta menjauhi perbuatan yang dilarang sekaligus merosakkan badan.

- Advertisement -

“Semoga penganjuran program motorcross selama dua hari dapat memberi suntikan semangat kepada anak muda untuk melibatkan diri dalam sukan yang mencabar.

“Terima kasih kepada kepada penganjur, petani dan penternak yang memberi kerjasama baik pada program dan sokongan untuk menjayakan kejohanan ini,” katanya pada majlis penutup Kejohanan Motorcross Terbuka 2022 di Litar Telok Kerengga Kampung Paloh Tendong di sini semalam.

Hadir sama anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, Adun Tendong Rozi Muhammad dan Adun Chetok Zuraidin Abdullah.

Lebih 400 peserta dari seluruh negara termasuk Thailand menyertai kejohanan tersebut yang bermula Sabtu lepas. Kawasan itu mempunyai litar sejauh satu kilometer.

Sementara itu Ahmad Fadhli berkata lokasi di tepi Sungai Kelantan itu sering dijadikan tempat pemuda tempatan bermain motorcross.

Malah beliau berkata memandangkan kawasan seluas dua ekar tanah itu berpotensi untuk dijadikan litar motorcross, sebanyak RM40,000 diperuntukkan bagi menambahbaik litar.

“Litar ini dibuka setiap hujung minggu untuk pemuda tempatan bermain motorcross dan kawasan ini dikenali sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.

“Saya harap kerajaan negeri dapat mewartakan kawasan ini sebagai tempat penganjuran motorcross untuk memperkenalkan nama Kelantan di persada nasional dan antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -