Selepas huru-hara politik: India teruk dilanda malapetaka alam, Covid-19

Keadaan dua buah kereta api yang membawa 2,800 penumpang akibat kejadian tanah runtuh dan banjir susulan hujan lebat berterusan di Bukit Bukit Lumding-Badarpur, Assam, India. (FOTO onmanorama.com)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

NEW DELHI: Selepas huru-hara melanda India sepanjang minggu lepas angkara amukan rakyat yang bertindak membakar koc kereta api dan pejabat kerajaan pemerintah, Bharathyia Janata Party (BJP), India kini dilanda malapetaka susulan banjir besar yang sehingga Ahad (19 Jun) telah mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang maut dalam banjir monsun dan ribut petir di India, manakala jangkitan wabak Covid-19 kembali meningkat di India, dengan hampir 80,000 kes baharu direkodkan sejak seminggu lalu.

Pihak berkuasa pengurusan bencana India berkata, di Assam, di timur laut India, tiga orang terbunuh akibat tanah runtuh, manakala enam lagi maut dalam arus air banjir.

- Advertisement -

Assam paling teruk dilanda banjir membabitkan 5,140 kampung di negeri itu ditenggelami air pasang, dengan lebih 100,000 penduduk kampung berlindung di pusat perlindungan.

Negeri itu mula dilanda banjir pada April lalu apabila hujan berlaku sebelum menjelang musim monsun menyebabkan banjir yang mengorbankan 44 nyawa.

Namun, air banjir yang surut selepas beberapa minggu naik semula pada Jun, yang merupakan permulaan musim tengkujuh tahunan dan menjadikan jumlah kematian setakat Ahad mencecah kepada 71 orang.

Menurut laporan The Indian Express, banjir yang telah melanda 33 daerah di negeri itu turut menyebabkan tiga maut akibat tanah runtuh yang mana ketiga-tiga kematian tersebut adalah di daerah Cachar.

Sejumlah 15 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 direkodkan sehingga jam 8 pagi 19 Jun 2022, menjadikan jumlah keseluruhan korban virus tersebut di India kini mencecah 5,24,855 kes. (FOTO Anadolu Agency)

Sementara sehingga Ahad juga, daerah Barpeta melaporkan dua kematian, diikuti satu kematian masing-masing di daerah Bajali, Kamrup, Karimganj dan Udalguri.

Terdahulu, onmanorama melaporkan, kesemua kira-kira 2,800 penumpang dua kereta api yang terkandas di Bukit Lumding-Badarpur, Assam akibat tanah runtuh dan air yang membanjiri landasan akibat hujan yang turun berterusan, telah berjaya diselamatkan sepenuhnya yang termasuklah membabitkan pasukan tentera udara dan  pihak berkuasa kereta api, Northeast Frontier Railway (NFR).

Bukan itu sahaja malapetaka yang kini menghantui India apabila negara yang kacau-bilau akibat kekejaman BJP di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi khususnya terhadap penganut agama Islam, dilaporkan mengalami peningkatan jumlah kes aktif Covid-19 menghampiri sebanyak 60 peratus dalam tempoh tujuh hari lepas.

Banjir yang melanda Assam di timur laut India kini dikategorikan sebagai malapetaka teruk dialami di negara itu. (FOTO Morung Express)

Setakat ini sehingga Ahad (19 Jun), terdapat 72,474 aktif, namun kementerian kesihatan India bagaimanapun menolak kemungkinan mengenai gelombang Covid-19 keempat telah melanda negara itu.

Menurut angka rasmi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Persekutuan India  sebagaimana dilaporkan BusinessToday.In, pada Ahad sebanyak 12,889 kes jangkitan baharu telah direkodkan di seluruh negara itu, menjadikan jumlah kes setakat ini mencecah 4,32,96,692 kes.

Di sebalik peningkatan semula jumlah kes jangkitan baharu Covid-19, kerajaan India bagaimanapun menafikan ia merupakan gelombang keempat pandemik berkenaan dialami di negara itu. (FOTO CNBC)

Delhi sekali lagi kekal menjadi antara negara paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, dengan 1,530 jangkitan baharu direkodkan pada petang Ahad.

Ia  merupakan hari keempat berturut-turut kes baharu melebihi 12,000 setiap hari, dengan 15 kematian baru direkodkan (sehingga jam 8 pagi Ahad) akibat wabak itu, menjadikan jumlah korban setakat ini mencecah 5,24,855 kes, lapor The Hindu.

Daripada 15 kematian baharu tersebut, tujuh kes dilaporkan di Kerala, tiga dari Delhi, dua dari Maharashtra; dan masing-masing satu dari Madhya Pradesh, Punjab dan Rajashtan. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -