PAS menang banyak kerusi di Kedah ketika tembung banyak penjuru

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Biarpun berlaku pertembungan banyak parti pada pilihan raya umum (PRU) lepas di Kedah, namun PAS masih mampu memenangi banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dengan jumlah kerusi yang dimiliki PAS akhirnya berjaya membentuk kerajaan PN pada Mei 2020.

Katanya dengan kekuatan PN Kedah yang ada sekarang, gabungan parti itu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi.

“Pertembungan tiga hingga empat penjuru sebelum ini tidak menghalang PAS untuk berjaya memenangi banyak kerusi Dun.

- Advertisement -

“Ekoran dengan kekuatan yang ada akhirnya kita berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Kita telah bersiap sedia seperti mana arahan Pengarah Pilihan Raya PN Pusat,” katanya pada malam Iltizam PN peringkat Negeri Kedah di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Pusat Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali dan ketua-ketua parti komponen PN Kedah.

Pada PRU lepas PAS menguasai 15 kerusi daripada 36 Dun.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS sebagai parti yang mempunyai ahli yang ramai dan cawangan banyak akan terus mengadakan perbincangan terutama berkaitan pembahagian kerusi.

Kata beliau semua kerusi di Kedah akan ditentu berasaskan perundingan antara parti-parti dalam PN yang dilakukan pemimpin peringkat pusat.

Menurutnya juga untuk mencari titik persamaan dan penyesuaian bersama pemimpin parti-parti dalam PN memerlukan tempoh masa tertentu.

“Dalam tempoh dua tahun, masing-masing boleh mengenali antara satu sama lain dan dapat mengenal pasti kelebihan, kemahiran dan kebolehan yang dapat dikongsi bersama demi kebaikan rakyat.

“Walaupun gabungan ini ahlinya dari pelbagai latar belakang sama ada bekas ahli Umno dan Pakatan Harapan (PH) namun tiada masalah untuk mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih di atas bantuan, sumbangan dan dukungan kerajaan Persekutuan kepada Kedah.

Begitu juga katanya rakan-rakan dari Bersatu yang menjadi keluarga besar terutama kepada pemimpinnya, Mohd Suhaimi Abdullah yang membantu mengukuhkan PN di Kedah.

“Saya dalam kerajaan tidak memimpin seorang diri. Semua keputusan dibuat secara kolektif. Dalam tempoh dua tahun tiada pergeseran sesama Exco,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -