Beri hadiah: Bergurau pun ambil kira akhlak Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, hadiah adalah penghubung kasih sayang.

Menurutnya, hadiah adalah suatu yang menjadi ingatan dan kenangan, juga membantu meringankan bebanan jika dihadiahkan kepada yang memerlukan.

Ini, ujarnya sebagaimana yang hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.

“Menjadi adab dalam memberi hadiah untuk memberi sesuatu yang menyenangkan hati, bermanfaat dan mengeratkan silaturahim antara pemberi dan penerima,” ujarnya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian susulan tular di media sosial satu video pemberian hadiah kepada pengantin yang memalukan.

Katanya, ia ditambah pula dengan sikap tidak prihatin menyiarkannya di media sosial.

Tambahnya, selain memalukan dengan menyebarkannya untuk tatapan umum, sikap itu bukanlah sebahagian daripada akhlak lslam dan adab resam masyarakat Timur.

“Sukalah saya menasihatkan agar anak muda kita tidak melakukan sikap ambil mudah dan jika bergurau sekalipun ia perlu mengambil kira akhlak seorang Muslim, maruah dan tatasusila masyarakat Timur.

Beliau berkata, jika sikap seperti itu berterusan dilakukan, akan hilanglah hikmah dalam memberi dan menerima hadiah.

Tambah beliau, ia akan jauh daripada memupuk kasih sayang malah boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan.

“Sama-samalah kita memberikan peringatan dan nasihat kepada generasi muda agar tidak memalukan orang lain dan sentiasa menjaga maruah diri.

“Ingatlah bahawa malu itu separuh daripada iman,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, tular video di TikTok mengenai pemberian hadiah yang dianggaop tidak sennooh kepada pengantin pada suatu majlis perkahwinan. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -