Anak muda jadi duta perkenal lokasi pelancongan di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anak-anak muda perlu berperanan sebagai duta bagi memperkenalkan tempat-tempat rekreasi dan pelancongan menarik di Kelantan.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohamad Kamal Mohamed berkata, anak muda boleh memainkan peranan sebagai agen pelancongan bagi membantu kerajaan mempromosi tempat-tempat pelancongan menarik.

“Inilah yang saya maksudkan dalam tawaran yang dibawakan ketika Forum Rakyat anjuran Urusetia Penerangan dan Komunikasi (UPKN) di Dewan Perniagaan Cina 16 Jun lalu.

“Forum itu membincangkan perancangan untuk anak muda bagi mengharungi masa depan Kelantan,” katanya di sini.

- Advertisement -

Menurutnya juga kempen Kelantanku Bersih yang digerakkan di bawah Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan dipengerusikan Dr Izani Husin menampakkan lagi keceriaan destinasi pelanongan.

Kata beliau pada Belanjawan 2022 kerajaan negeri memperuntukkan RM11.2 juta bagi menjayakan program Kelantanku Bersih.

Katanya terbaharu kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Kuala Krai mewujudkan Mini Zoo Kuala Krai yang dijangka dibuka kepada awam Julai ini.

“Tumpuan kerajaan sekarang membina dan menaik taraf tempat-tempat rekreasi dan pelancongan yang diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sebanyak RM1.05 juta diperuntukan kerajaan negeri bagi melaksanakan 20 projek naik taraf di tujuh PBT tahun lepas,” ujarnya.

Sementara itu Dr Izani berkata, Kempen Kelantanku Bersih diperkasakan dengan mewujudkan Zon Bersih, Indah dan Ceria di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, zon tersebut diwujudkan sejajar dengan pengiktirafan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang memperakui Jeli antara 10 Bandar Bahagia 2019 melalui PLANMalaysia.

“Suasana bersih, ceria dan pencahayaan menjadi kriteria utama bagi memastikan status tersebut kekal.

“Imej Jeli sebuah bandar bersih perlu dijaga sebaik mungkin. Sesuatu yang boleh dibanggakan, Majlis Daerah Jeli menyahut seruan agenda Kelantanku Bersih,” katanya pada program Jelajah Kelantanku Bersih di sini baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 20/6/2022

- Advertisement -