Peruntukan selenggara aset kerajaan fokus penyediaan Bajet 2023

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

JELI:
Peruntukan penyelenggaraan aset melibatkan semua kementerian menjadi keutamaan kerajaan bagi penyediaan Bajet 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan memandang serius berkenaan aset kerajaan termasuk peralatan, pembangunan dan jalan raya.

Katanya langkah itu untuk memastikan aset dan kemudahan kerajaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk dimanfaatkan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

- Advertisement -

“Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) pada April lalu membentangkan kertas jemaah menteri mengenai keperluan menyediakan peruntukan lebih besar untuk penyelengaraan aset kerajaan.

“Sebagai langkah proaktif, kerajaan mengambil langkah tahun ini untuk menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan aset berkenaan.

“Peruntukan bagi kementerian yang mempunyai prestasi perbelanjaan yang rendah dicadang untuk diagih semula bagi menampung keperluan perbelanjaan penyelenggaraan kepada kementerian memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas selesai meninjau kerosakan Jalan Raya Timur-Barat di sini hari ini.

Menurutnya juga secara keseluruhan kerja-kerja penyelenggaraan di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat dilaksanakan secara berperingkat.

Bagaimanapun kata beliau peruntukan lebih besar diperlukan untuk penyelenggaraan jalan raya bagi jajaran di Perak dan kawasan sempadan Kelantan.

Kata beliau sebanyak 11 daripada 24 projek penyelenggaraan diberi peruntukan sebanyak RM10.9 juta bagi penyelenggaraan di lolasi jajaran berkenaan.

Mustapa juga berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memaklumkan terdapat sebanyak 13 lokasi lagi perlu diselenggarakan tahun ini yang melibatkan nilai kos sebanyak RM8.9 juta.

“Hari ini saya melawat Jalan Raya Timur-Barat jajaran laluan Persekutuan FT004 di sempadan Gerik Perak dan Jeli. Kerosakan lebuh raya ini sering dibangkitkan pengguna.

“Oleh itu kita akan beri keutamaan bagi penyelenggaraan jajaran yang terlibat bagi mengelak daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini kepada pengguna,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -