PAS tolak khemah besar, fokus penyatuan ummah

- Advertisement -

PAS menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek kebelakangan ini. Oleh sebab itu, PAS dengan segenap kemampuan yang ada telah menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) sebagai salah satu usaha menterjemahkan solusi politik Islam dalam mendepani cabaran ini.

- Advertisement -

Terkini, PAS meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.

Rakyat Malaysia pasti tidak lupa dengan sejarah hitam 22 bulan negara bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang telah menzahirkan realiti golongan yang cuba menggugat status quo negara Malaysia serta prinsip asas tunjang negara.

Prinsip PAS sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS adalah jelas. Islam yang paling utama. Oleh sebab itu, bagi menghadapi rejim PH ketika 2018-2019 lalu, PAS telah menggerakkan usaha muafakat ummah dengan parti Melayu seperti UMNO dan NGO-NGO sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.

Namun pada masa yang sama, PAS menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ke- 7 di saat kedudukan beliau diganggu gugat. Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang PAS.

Dalam menghadapi PRU-15, timbul pula cadangan ‘khemah besar’ sebagai usaha konsolidasi undi rakyat kepada parti-parti yang bersekutu. PAS menolak idea khemah besar dan fokus agenda Penyatuan Ummah.

Prinsip PAS dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas. PAS berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dalam masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

PAS tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan BERSATU untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam.

Sekian

“Islam Menyatukan Ummah”

DATO’ HAJI MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 19/6/2022

- Advertisement -