PAS tetap ajak Umno pertahan MN

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PAS tetap mengajak Umno mempertahan Muafakat Nasional (MN) biar parti itu dilihat lebih selesa bergerak solo selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, penyatuan ummah dalam MN mampu memberi manfaat besar kepada rakyat khasnya menyatukan kembali dua-dua parti Melayu.

Katanya, PAS masih berharap kerjasama dapat diteruskan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

“PAS Perlis bersedia menjadi orang tengah menyatukan antara Umno dan Bersatu demi semangat penyatuan ummah.

“Jika dilihat Umno sekarang mempunyai dua kelompok iaitu Umno Putrajaya yang lebih cenderung kepada MN dan Umno ‘PWTC’ yang mahu bergerak solo.

“Penyatuan ummah bukan saranan PAS semata-mata, sebaliknya ditegaskan Allah Taala dalam al-Quran,” katanya pada program Hi-Tea dan dialog bersama media Perlis di Kompleks PAS Kangar (KOMPAS) semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS negeri Muhammad Azmir Azizan, Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim dan wakil-wakil agensi media.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata sekiranya Umno tetap menolak kerjasama MN, maka PAS terpaksa berlawan semula dengan parti itu.

“Jika mereka tidak mahu berkawan maka terpaksa kita lawan, namun sedih penyatuan ummah mungkin tidak dapat diselamatkan.

“Bagaimanapun PAS Perlis akan terus berusaha memastikan penyatuan tersebut dapat diselamatkan sama ada di peringkat negeri atau pusat,” ujarnya.

Menurutnya juga PAS Perlis sedia menampilkan lebih ramai muka baharu yang lebih segar dan muda untuk bergandingan dengan muka lama pada pilihan raya akan datang.

Kata beliau mungkin lebih 50 peratus calon muka baharu dalam kalangan golongan muda akan diketengahkan.

“Kita akan kenal pasti calon-calon terbabit sebelum dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk diputuskan oleh Majlis Syura,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2022

- Advertisement -