NGO Cacat Penglihatan Malaysia daftar ahli secara ‘online’

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) melancarkan pendaftaran secara atas talian bagi menarik lebih ramai ahli.

Presiden SBM Mohammed Nazari Othaman berkata, pihaknya menyasarkan pendaftaran melalui kaedah tersebut sehingga 300 ahli baru setahun.

Menurutnya, inisiatif itu dibuat sesuai dengan perkembangan teknologi semasa yang mampu mengurangkan pergerakan golongan cacat penglihatan.

- Advertisement -

“Dahulu pendaftaran kena pergi secara fizikal, sekarang buat online melalui maya, kita anggarkan dalam setahun dalam 200 sehingga 300 orang.

“Kita tawarkan skim kebajikan, pendidikan dan pekerjaan untuk membantu ahli jika mereka mendaftar sebagai ahli SBM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Jamuan Makan Malam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan SBM (Edisi Ke-14) 2022 malam tadi.

Program tersebut dirasmikan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Terdahulu Mumtaz menyempurnakan gimik pelancaran sistem keahlian secara atas talian SBM serta penyampaian Anugerah Kualiti SBM dan cenderahati.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web sbm.org.my bermula hari ini dan ahli SBM di seluruh negara setakat ini sebanyak 7,490 orang.

Mohammed Nazari juga berkata, SBM menetapkan syarat pendaftaran iaitu berusia 18 tahun ke atas serta mempunyai kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang disahkan. – HARAKAHDAILY 19/6/2022

- Advertisement -