MB ikrar bekerja bersungguh demi kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan negeri akan berusaha merealisasikan dasar ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’ bagi kemakmuran rakyat melalui perkhidmatan yang terbaik.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia direalisasikan dengan penuh komitmen, dedikasi, ikhlas, adil dan saksama serta bertanggungjawab kepada semua tanpa mengira latar belakang kaum agama serta fahaman politik.

Menurutnya antara indikator yang boleh dibanggakan, Kedah menerima pelaburan dengan nilaian sebanyak RM68.3 bilion pada 2021.

- Advertisement -

“Alhamdulillah Kedah terus berkembang dan menikmati kemajuan. Ini merupakan pencapaian luar biasa serta mengatasi negeri-negeri lain yang sudah maju.

“Pencapaian Kedah merupakan rekod cemerlang dalam sejarah negara,” katanya sempena sambutan Keputeraaan Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, di Istana Anak Bukit, hari ini.

Paling membanggakan kata Sanusi apabila Tuanku Raja Muda berangkat merasmikan operasi kilang pemasangan kereta Porsche yang pertama di luar Eropah di kawasan Perindustrian Padang Meiha, Kulim pada 28 Mac lalu.

Menurutnya selain Porsche, firma AT&S dari Austria memuktamadkan pelaburan RM8.5 bilion untuk membuka kilang papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

“Pelaburan AT&S juga yang pertama bagi firma itu di luar Eropah,” kata beliau.

Sanusi yang juga Adun Jeneri berkata, kejayaan Kedah yang kini mengatasi sasaran Pelan Pembangunan Kedah 2035 (RM10 billion) dengan nilai pelaburan sebanyak RM20 billion untuk suku kedua 2022.

Selain Kemakmuran Ekonomi, pihaknya juga akan memastikan lima teras utama dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu kecemerlangan infra dan utiliti, keterangkuman sosial dan budaya, kemampanan alam sekitar, keseimbangan modal insan dan bakat kompetensi tadbir urus berjalan seriring.

“Dalam pentadbiran Kerajaan Tuanku, Kedah disifatkan sebagai “Negeri Tempat Untuk Orang Miskin Berteduh, dan Negeri Untuk Orang Kaya Berbakti”.

“Dalam konteks ini, pelabur atau sesiapa pun jua termasuk agensi-agensi kerajaan Persekutuan diumpamakan seperti ‘orang kaya” yang datang untuk berbakti di negeri ini.

“Segala projek pembangunan atau bantuan yang mereka bawa termasuk peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan melalui pelaburan diterima dengan berbesar hati,” ujarnya.

Menurutnya juga beliau berasa bertuah kerana mendapat sokongan padu pegawai tadbir negeri (KCS), Persekutuan serta seluruh agensi, syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau juga berkata, aset-aset hijau di negeri itu sentiasa terpelihara bagi memastikan setiap usaha pembangunan tidak mendatangkan impak negatif terhadap kelestarian alam sekitar dan pematuhan undang-undang.

Kedah juga katanya menyertai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dianjurkan kerajaan Persekutuan dengan tema ‘Pokok Kita, Kehidupan Kita’ bagi tempoh 2021 hingga 2025 ke semua peringkat pentadbiran termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Selain dikenali sebagai negeri ‘Jelapang Padi Malaysia’ kerana menyumbang 43 peratus beras negara, Kedah kini mempunyai produk pertanian yang baharu dengan jenama sendiri iaitu mempelam harumanis D’Aman.

“Pelancarannya diadakan 26 Mei lalu di Pusat Teknologi Mempelam Jabatan Pertanian di Sala Kanan,” katanya.

Menyentuh mengenai usaha mengatasi masalah bekalan air antara usaha dilakukan menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) iaitu di Pelubang, Bukit Selambau, Lubuk Buntar, Jenun Baru dan Sungai Limau.

Kerajaan negeri juga komited berusaha mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) yang mana sekarang mencecah hampir 50 peratus.

Sanusi juga berkata, beberapa pendekatan dilaksanakan kerajaan negeri untuk memudahkan urusan pentadbiran melibatkan rakyat di samping meningkatkan hasil pendapatan.

Antaranya sistem pembayaran secara atas talian iBAYAQ yang diperkenalkan pada Ogos 2020 banyak membantu urusan pembayaran.

“Sepanjang tempoh tiga tahun pelaksanaan, hasil terimaan melalui iBAYAQ meningkat daripada RM1.76 juta pada 2020 ke RM9.25 juta (2021) dan sehingga Mei 2022 sebanyak RM10.68 juta.

“Sehingga Mei 2022 jumlah pengguna berdaftar adalah sebanyak 39,019 orang. Manakala pengunjung yang melayari portal iBAYAQ sehingga tarikh itu berjumlah 215,250 orang.

“Sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri asya merasa bertuah bernaung di bawah pemerintahan dan nasihat Tuanku Sultan serta berikrar bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh demi kesejahteraan 2.3 juta rakyat Kedah,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2022

- Advertisement -