Kelantan pertahan warisan, budaya patuhi prinsip syariah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak menolak warisan dan budaya tradisi termasuk makyong, dikir barat dan wayang kulit selagi ia mematuhi prinsip-prinsip syariah.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, persembahan tradisional tersebut dibenarkan selepas pembaikan dibuat dan memenuhi dasar-dasar yang berteraskan Islam.

Katanya, warisan sejarah dan budaya yang terdapat di Kelantan diiktiraf sehingga sambutan Hari Muzium Antarabangsa diadakan di Kota Bharu tahun ini.

- Advertisement -

“Ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap Kelantan sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan budaya dan warisan,” katanya perasmian Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2022, di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.

Menurutnya juga persidangan terbesar tentang sejarah dan warisan budaya pernah diadakan di Kota Bharu pada April 1980.

Kata beliau seminar Sejarah dan Budaya Wilayah Kelantan tersebut dianjurkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Menteri Besar juga berkata, muzium bukan hanya berperanan untuk memperbaiki dan menyimpan artifak-artifak, sebaliknya khazanah ilmu dan maklumat disimpan mampu membina jati diri anak bangsa kita.

“Tahniah saya rakamkan kepada Muzium Negara dan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan atas penganjuran tersebut.

“Semoga seluruh institusi muzium di negara kita akan terus maju dalam mempertahanan warisan dan kebudayaan negara demi kepentingan generasi akan datang,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, Kelantan cukup bertuah kerana julung kali terpilih menjadi tuan rumah sambutan HMA tahun ini. – HARAKAHDAILY 19/6/2022

- Advertisement -