SPM: Kenangan silam dan masa depan

- Advertisement -

KETIKA keputusan SPM keluar kira-kira 32 tahun lalu, rasanya tiada sekolah membuat sambutan kepada pelajar-pelajar terbaik sebagaimana sekarang. Amat sedikit bilangan pelajar yang mendapat ‘straight’ A. Kalau adapun beberapa orang sahaja dan namanya akan menjadi sebutan bertahun-tahun. Begitu kepayahannya. Sampaikan di sekolah aku, ada kes membeli soalan SPM. Gred 2 masih berpeluang besar diterima masuk ke universiti, bergantung jumlah agregatnya.

Hanya beberapa sekolah sahaja yang memang sudah diduga akan mencatatkan keputusan gilang-gemilang. Bagi yang ke sekolah harian biasa atau agak tercorot, adalah sesuatu yang agak sukar atau amat sedikit peluang untuk mendapat kejayaan cemerlang dalam SPM. Semenjak tingkatan satu lagi, ramai ibu bapa agak kecewa jika anak mereka dimasukkan ke sekolah yang kurang kualiti kerana keputusan Peperiksaan Penilaian darjah 5 teruk. Tiada harapan besar, hanya berharap anaknya tidak menjadi orang yang menyusahkan orang lain.

Sistem pendidikan kita yang mengutamakan keputusan peperiksaan, menjadikan ibu bapa pula yang tidak tidur malam lebih daripada anaknya, menunggu keputusan diumumkan. Kemudian kalau anak mereka berjaya, ibu jenis agak mulut becok, akan ke hulu ke hilir bertanya keputusan anak orang lain, yang sebenarnya mahu menayang keputusan anaknya. Begitulah.

Ketika zaman itu, ghalibnya, sekolah agama harian biasa adalah sekolah bagi meletakkan pelajar yang gagal. Ya, bukan baru berlaku sekarang sebagaimana dibisingkan. Sudah lama ia berlaku. Sekolah agama dilihat sebagai sekolah kelas kedua. Masing-masing kalau anak pandai, semahunya dihantar ke sekolah sains berasrama penuh ataupun MRSM. Sekolah agama kurang jadi pilihan untuk dihantar, kecuali bagi ibu bapa yang kuat pegangan agamanya, barulah akan ke sekolah agama, atau sekolah agama itu sudah dikenali berprestij.

Bagi Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang pada awal 80-an, ia agak baharu ditubuhkan. Itupun kerana ramai pemimpin PAS yang baru pulang dari belajar, membuka madrasahnya. SAR langsung tidak dilihat sebagai sekolah yang menjanjikan masa depan. Ayat-ayat seperti “nanti nak makan apa SPM tak ada, tak boleh mintak kerja” adalah antara ayat lazim diberikan oleh penentang SAR. Akan kebulurlah lulusan SAR nanti. Itulah gambaran keadaan pelajar SAR dan sikap ibu bapa ketika itu.

Kini, mereka yang dilihat gagal SPM dahulu, tidak sedikit menjadi lebih kaya daripada mereka yang dilihat berjaya SPM dahulu. Ada yang menjadi bos kepada kawannya yang pandai dahulu. Bekas kekasih yang menolak dahulu, kini terlopong melihat kemewahan sang jejaka itu. Atau pelajar perempuan agak bodoh dahulu, kini berjalan dengan barang kemas berkerdipan bersama suami jutawan, meninggalkan rakannya yang cerdik dahulu, masih bujang kerana tiada rupa, walaupun ada otak. Semua rezeki, Allah yang tentukan.

Ustaz-ustaz yang dikatakan tiada harapan untuk hidup kerana tidak mengambil SPM dahulu, kini ada menjadi penasihat kepada syarikat-syarikat besar dan memberikan gaji 5-6 angka. Ada yang membuka syarikat ‘travel agent’, ke Makkah setiap tahun. Menjadi Yang Berhormat pun ramai. Ini kerana, ada antara mereka mengambil SPM selepas lulus universiti yang mereka berjaya masuk melalui persefahaman SAR dengan universiti luar negara melalui pimpinan PAS.

Rupanya SPM tidaklah perlu kepada keputusan A yang berlambak-lambak, cukup sekadar lulus sahaja bagi formaliti, kerana mereka sudah memiliki ijazah. Jadi, perlu keputusan SPM cemerlang untuk berjaya, hanyalah tahyul. Ia adalah bagaimana mengurus kehidupan selepas SPM. Kenyataan ini adalah jika kita mengambil harta dunia sebagai penanda aras kejayaan hidup.

Tetapi bukan kekayaan yang kita perlu kejar. Yang lebih utama ialah anak-anak kita mesti menjadi berguna kepada Allah dan manusia, walau siapapun mereka. Inilah sebenarnya tujuan pendidikan. Lapisan masyarakat mesti terdiri daripada berjenis-jenis latar belakang. Jika semua pandai dan mesti jadi bos, siapa yang akan menjadi kuli? Sikap gila mengejar pangkat ini hanya akan menimbulkan rasa tidak hormat kepada jawatan yang lebih rendah. Ini bukan dari agama.

Kita bimbang jika material yang diutamakan, nanti mereka lupa tujuan hidup manusia diciptakan iaitu beribadat kepada Allah. Pengundi-pengundi muda berumur 18 tahun iaitu lepasan SPM, paling kita bimbang kerana jika duit dan kebendaan mereka cari, nanti akan ramai terpedaya dengan pujukan wang untuk mengundi kumpulan yang akan menjahanamkan masa depan mereka sendiri. Mereka akan disogokkan dengan berita fitnah berterusan bagi mencapai tujuan kumpulan ini. Walaupun mendapat banyak A, mereka tetap mentah untuk menilai, jika tanpa agama.

MOHD NASIR ABDULLAH
18 Jun 2022 – HARAKAHDAILY 18/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -