Penjajaran Orde Baharu Dunia dan pengakhiran hegemoni AS (Bah. 3)

- Advertisement -

SUDAH lebih 16 minggu peperangan di antara Rusia dan Ukraine berlangsung namun masih tidak terdapat lagi tanda-tanda ia akan berakhir walaupun pelbagai usaha diplomasi dilakukan. Rentetan itu ramai mula meragui keupayaan ekonomi Rusia dalam menangani sekatan Barat dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Matawang Rusia iaitu Rouble telah meningkat ke tahap yang paling tinggi berbanding beberapa tahun lalu walaupun berhadapan dengan sekatan dan pembekuan rizab Bank Pusat Rusia yang melebihi USD200 bilion oleh Barat. Namun begitu Rusia dilihat tidak mampu bertahan lama dan memerlukan sokongan dari China.

Tidak seperti Rusia, China telah berjaya menyingkirkan keutamaan Barat dalam setiap bidang persaingan utama, daripada pembangunan peluru berpandu hipersonik kepada kecerdasan buatan dan komunikasi kuantum.

Seperti yang pernah berlaku ke atas Soviet Union, China kini telah menghasilkan penemuan teknologi Sputnik Moment sendiri, baik dalam bidang awam mahupun ketenteraan. Kesemua kemajuan yang telah ditunjukkan oleh China telah membuatkan Amerika Syarikat dan Barat bimbang kerana dari satu sudut, Barat telah jauh ketinggalan daripada China malahan China dari sudut ekonomi telah mula meninggalkan Barat terutamanya Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Dengan semua petunjuk yang dijelaskan, Barat berusaha untuk mengelak konfrontasi langsung dengan Rusia dalam konflik Ukraine namun sedang berusaha ketika ini menggunakan segala sumber strategik yang penting untuk mengekang China, terutamanya di Asia Pasifik.

Ketika ini Kesatuan Eropah sedang bekerja keras untuk mengurangkan kelemahannya terhadap China dengan cuba mengukuhkan autonomi ekonominya sendiri. Kuasa Eropah seperti Perancis sedang berusaha untuk mewujudkan hubungan berdasarkan “timbal bali ” dan “sama rata” dalam cubaan untuk menghalang pengaruh dan kebangkitan China.

Barat ketika ini dilihat sedang berhempas pulas cuba memperluaskan sokongan pertahanan dan strategik kepada negara seperti Taiwan serta negara-negara Asia Tenggara lain seperti Filipina dan Vietnam yang berkonfrantasi dengan China. Dengan tawaran untuk memperkasakan keupayaan pertahanan terhadap negara-negara tersebut, Barat berharap mereka mampu menjadi barisan hadapan bagi menghadapi China di Asia Pasifik.

Dalam pada itu, Barat sedang berkira-kira untuk memperkenalkan insiatif ekonomi  seperti projek Gerbang Global EU yang bernilai 300 bilion Euro untuk menyediakan alternatif kepada pelaburan infrastruktur besar China di Asia Pasifik terutamanya inisiatif Belt and Road China yang kini dilihat mula menggugat kekuatan ekonomi Barat.

Ringkasnya, Barat terutamanya Amerika Syarikat kini dilihat sedang berhempas pulas cuba mengekang kebangkitan pengaruh China dan lebih menakutkan Barat ialah kerjasama erat dalam segenap sudut antara Rusia-China kerana ia bukan sahaja mampu menghakis kekuatan dan hegemoni kekuasaan Barat tetapi mampu mengakhiri pemerintahan global yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan Barat sejak berakhirnya perang dunia pertama.

Hakikatnya, walau siapa pun yang bakal menerajui order baharu dunia, Dunia Islam perlu sedar bahawa Dunia Islam perlu bangkit dan mampu berdiri di atas kaki sendiri untuk mengharungi dunia yang penuh cabaran ketika ini. Untuk itu, kesatuan dan perpaduan adalah intipati utama untuk mencapai kejayaan dan bangkit dari kelesuan serta kelemahan Dunia Islam saat ini.

Bangkitlah Dunia Islam kerana sesungguhnya kegemilangan mampu dicapai jika bersatu dan berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar.

Islam Menyatukan Umat

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 18/6/2022

- Advertisement -