Majikan perlu urus lindungi pekerja dari tegasan haba

Terutama sektor yang terdedah kepada kerja di bawah cuaca panas kini

- Advertisement -

BARU-baru ini pihak Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial (MHRSD) Arab Saudi telah menguatkuasakan larangan bekerja di bawah terik matahari mulai jam 12 tengah hari hingga 3 petang bagi tempoh tiga bulan. Ini kerana suhu panas telah mencecah 48 darjah celcius (°C).

Larangan tersebut meliputi semua syarikat dan sektor swasta, yang akan berterusan sehingga 15 September 2022. Pihak kementerian akan mengenakan denda ke atas majikan sekiranya melanggar peraturan berkenaan.

Bagi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) ada meletakkan tahap bagi dedahan suhu panas ini iaitu Tahap 1 adalah berjaga-jaga iaitu suhu maksimum harian 35°C hingga 37°C sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut. Manakala Tahap 2 adalah gelombang haba iaitu suhu maksimum harian 37°C hingga 40°C sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut. Tahap 3 pula adalah gelombang haba ekstrem iaitu suhu maksimum harian melebihi 40°C sekurang-kurangnya 3 hari berturut-turut.

Di Malaysia bagi mengawal risiko ini kepada pekerja yang mungkin terdedah kepada suhu panas, pihak kerajaan melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) ada mengeluarkan garis panduan yang berkaitan, iaitu Garis Panduan Pengurusan Tegasan Haba di Tempat Kerja 2016.

Semua majikan diminta untuk menggunakan dan menyesuaikan garis panduan ini sebagai sumber rujukan dalam menguruskan tegasan haba di tempat kerja dan untuk memenuhi salah satu daripada kewajipan am di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Bila disebut tegasan haba, maka puncanya bukan sahaja dari suhu persekitaran yang panas tetapi juga faktor keperluan pakaian. Kegagalan badan mengawal suhu dalaman disebabkan faktor suhu persekitaran panas, haba metabolik dan keperluan pakaian maka tegasan haba akan berlaku.

Tegasan haba boleh menjadi punca masalah kesihatan yang serius kepada pekerja yang perlu bekerja dalam persekitaran panas, terutamanya kepada pekerja yang terdedah kepada kelembapan yang tinggi pada masa yang sama. Ia juga boleh meningkatkan tekanan dan keletihan, sekali gus memungkinkan untuk berlakunya kemalangan di tempat kerja.

Pada tahun 2012, kemalangan pernah berlaku di sebuah kilang keluli tempatan, di mana seorang pekerja di bahagian relau pengsan dan disahkan  menghidap strok haba. Pekerja tersebut kini mengalami masalah pertuturan tidak jelas dan menggigil pada keseluruhan badan. Majikan telah memberi perlindungan pemindahan perubatan kepada beliau dengan memindahkannya ke persekitaran bebas haba.

Terdapat tiga lagi kes yang dilaporkan pada tahun 2013 dan 2014 disebabkan oleh tegasan haba yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ dalaman pekerja terlibat. Kes-kes tersebut berlaku di kalangan pelatih semasa menjalankan latihan di bawah terik matahari.

Hasil penaksiran dan penguatkuasaan tegasan haba yang dijalankan oleh JKKP pada kes-kes tersebut, menunjukkan bahawa pekerja terdedah kepada tegasan haba melalui proses dan jentera bersuhu tinggi.

Penaksiran ini juga mendapati bahawa majikan dan pekerja kekurangan pengetahuan dan kesedaran tentang pendedahan haba dan risikonya kepada kesihatan. Pakaian dan kelengkapan pelindung diri yang digunakan oleh pekerja adalah tidak sesuai dan tiada penjadualan kerja untuk pekerja.

Oleh itu disarankan pihak yang terlibat dapat mengambil perhatian dan tindakan jika cuaca di Malaysia juga mencecah suhu panas yang ekstrem. Kesempatan ini juga diharap pihak pengurusan haji dan umrah melalui Tabung Haji dapat memberi ingatan kepada petugas dan jamaah haji Malaysia agar dapat membuat langkah kawalan kepada petugas haji dan juga jamaah haji di sana.

Semoga Allah permudahkan urusan petugas dan jamaah haji serta mendapat haji mabrur!

TS HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 18/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -