Kelantan negeri pertama laksana dasar Islam di era moden

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Kelantan merupakan negeri pertama di dunia yang melaksanakan dasar-dasar Islam dalam pentadbiran kerajaan pada era moden.

Bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia, Dr Kamaruzaman Yusof berkata, negara-negara lain yang dimenangi parti berteras Islam termasuk Turki, Mesir, Algeria dan Morocco tidak mempamerkan Islam sebagai dasar dalam pentadbiran negara.

Katanya negara terbabit lebih menumpukan aspek ekonomi berbanding melaksanakan Islam dalam pentadbiran kerajaan.

- Advertisement -

“Kenyataan itu dibuat oleh seorang warga Mesir yang bermastautin di London, di mana
negara Arab yang menang pilihan raya seperti Mesir, Algeria, Tunisia dan Morocco tidak berani mengisytiharkan dasar Islam dalam pentadbiran mereka, tetapi telah tunjukkan model terbaik pelaksanaan Islam di dunia sejak selepas Perang Dunia Pertama.

“Dia memberitahu al Aziz (Nik Abdul Aziz Nik Mat) meneruskan kesinambungan kerajaan Khalifah Othmaniah di Kelantan sejak 1990,” katanya pada seminar Pengaruh Pentadbiran Islam Kelantan di Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini.

Seminar tersebut dianjurkan Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan dengan kerjasama Persatuan Anak Perantauan Kelantan Malaysia (Perakan) dan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).

Turut membentang kajian pada seminar tersebut Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dari Pusat Akademik Tamadun Islam UTM dan Pengarah PKS Dr Wan Nik Wan Yusoff.

Hadir sama Presiden Perakan Dato’ Sr Dr Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin, wakil-wakil agensi kerajaan negeri dan ahli jawatankuasa Perakan dari seluruh negara.

Dr Kamaruzaman juga berkata, Kelantan sebagai sebuah negeri kecil dalam Persekutuan Malaysia boleh melaksanakan dasar Islam dalam ruang lingkup yang tidak melanggar perlembagaan negara.

“Dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan di Kelantan sangat cantik yang boleh diperluaskan sehingga ke peringkat nasional.

“Rakyat Kelantan perlu menghayati dasar tersebut bagi membolehkan ia dieksport ke negeri-negeri lain. Malangnya berdasar kajian kefahaman rakyat Kelantan yang berada di perantauan mengenai dasar tersebut dianggap masih kecil,” ujarnya.

Dr Badlihisham Mohd Nasir

Dr Badlihisham pula berkata, Tok Guru Nik Abdul Aziz dianggap sarjana dunia sebagai Khalifah Islam yang ke-6 menggantikan kerajaan Khalifah Othmaniah yang tumbang di Turki.

Oleh itu katanya perlu dicari kaedah bagaimana memastikan wujud kesinambungan pentadbiran Islam di Kelantan pada masa akan datang.

Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II pada 1993. Kepimpinan ulama mengambil alih pentadbiran Kelantan pada Oktober 1990. – HARAKAHDAILY 18/6/2022

- Advertisement -