Iktibar agung surah al-Isra’ (3)

ALLAH SWT menceritakan mengenai Bani Israel, Nabi dan juga Rasul. Jika kita berbuat baik, Allah SWT akan membalas kebaikan kepada kita. Jika kita berbuat buruk, Allah SWT akan membalas keburukan kepada kita.
 
Al-Quran menjadi panduan kepada manusia iaitu membimbing manusia kepada jalan yang lurus atau jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Al-Quran juga mengajak kita supaya melaksanakan ajaran-ajaran Islam. Apabila kita beriman dan melakukan amal-amal soleh, kita akan memperoleh pahala yang besar.
 
Allah SWT sering mengaitkan iman dengan amal soleh. Dua syarat ini merupakan syarat utama untuk kita masuk ke dalam syurga. Sepertimana yang disebut juga dalam Surah Al-Kahfi dan dalam ayat-ayat lain yang menghubungkait antara iman dan amal soleh. Jika kita beriman sahaja (percaya kepada Nabi, Tuhan, malaikat serta hari akhirat) tetapi tidak beramal soleh (tidak menunaikan solat, berpuasa serta membaca Al-Quran), maka peluang untuk masuk syurga adalah tipis.

Advertisement


إِنَّ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”
(Ayat 9)

Apabila seseorang mengucapkan dua kalimah syahadah, dia akan dimasukkan ke dalam syurga tetapi tidak segera. Jika tiada amal, Allah SWT akan memasukkannya ke dalam neraka terlebih dahulu untuk diseksa sesuai dengan kejahatan yang dibuat. Setelah diseksa, dengan syahadahnya itu Allah akan mengeluarkannya dari neraka dan kemudian memasukkannya ke dalam syurga.
 
Begitulah huraian yang dibuat oleh ulamak kerana dibimbangi orang akan mengambil peluang. Orang akan memahami apabila dengan mengucapkan syahadah sahaja, tidak perlu lagi untuk menunaikan solat atau berpuasa kerana dengan syahadah sahaja sudah boleh masuk ke dalam syurga. Tidak tepat jika kita mentafsirkannya sebegitu kerana banyak ayat di dalam Al-Quran yang mengaitkan antara iman dan amal.
 
Nabi Muhammad ﷺ juga ada menyebut di dalam satu hadis bahawa iman itu bukan hanya dengan cita-cita atau khayalan sahaja, tetapi iman adalah apa yang tertanam di dalam hati dan dibenarkan oleh perbuatan. Umpama kita mencintai seseorang, cinta itu mesti dibuktikan. Jika kita suka akan seseorang, tetapi surat tidak dihantar, tidak bertegur atau bertanya khabar, itu tidak dinamakan sebagai cinta. Sekurang-kurangnya hadiahkanlah bunga kepadanya sebagai tanda atau bukti.
 
Begitu juga hubungan kita dengan Allah SWT. Kita mengaku beriman dengan Allah SWT, Nabi serta hari akhirat, maka mesti ada bukti. Buktinya adalah dengan mengerjakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya dan hidup dengan mengamalkan sunnah Rasulullah ﷺ. Tidak perlu membuat sebarang rekaan. Apa yang telah diajar oleh Baginda ﷺ sudah memadai. Tidak perlu memandai-mandai nak tambah. Jika kita berbuat demikian, ulamak mengatakan bahawa seolah-olah apa yang telah Nabi ajarkan tidak mencukupi atau tidak selesai.
 
Rekaan yang kita buat menyebabkan berlakunya bid’ah. Bid’ah adalah perkara yang tiada sandaran dalam agama dan tidak berlaku pada zaman Rasulullah ﷺ dalam bab ibadah. Adapun hal yang berkaitan dengan pakaian dan kenderaan tidak termasuk dalam bid’ah secara istilah. Kalau diambil kira dari segi bahasa, semua perkara dianggap bid’ah. Mana-mana hal yang tiada pada zaman Baginda ﷺ, semua itu dianggap bid’ah. Oleh sebab itu, Imam Syafie membahagikan bid’ah kepada dua, iaitu bid’ah hasanah (bid’ah baik) dan bid’ah dholalah (bid’ah sesat).
 
Bid’ah hasanah bukan bermaksud bid’ah cuma ia merupakan perkara baru tetapi ada sandaran. Walaupun ia perkara baru, ada hal yang boleh diamalkan. Ada Sahabat yang melakukan perkara yang Nabi Muhammad ﷺ tidak buat sepertimana yang dibuat oleh Sayyidina Umar R.A. Baginda mula melakukan solat terawih secara berjemaah sebanyak 20 rakaat. Ubai bin Kaab yang mempunyai suara merdu ketika membaca Al-Quran dan paling betul bacaannya telah dilantik menjadi imam pada ketika itu.

Solat malam Rasulullah ﷺ adalah tidak melebihi 11 rakaat dan tidak kurang daripada 9 rakaat. Ada yang menegur Sayyidina Umar dan memberitahu bahawa Baginda ﷺ tidak lakukan seperti itu. Sayyidina Umar menjelaskan bahawa sebaik-baik benda baru ialah apa yang dibuat olehnya. Terdapat satu kitab yang menghuraikan mengenai bid’ah secara terperinci iaitu Kitab Al-I’tisam.
 
Kita jangan terlalu ‘strict’ sehingga semua perkara yang tiada pada zaman Rasulullah ﷺ tidak boleh dilaksanakan. Ada sesetengah orang pula mereka seolah-olah menyindir “pandai-pandai kitalah… zaman kita kan”. Sedangkan ada satu hadis yang disebut oleh Nabi Muhammad ﷺ, Rasulullah ﷺ pernah berjalan di Madinah. Baginda ﷺ melihat ada seseorang sedang mencantumkan benih pokok tamar. Baginda ﷺ menanyakan hal tersebut. Lalu orang itu memberitahu bahawa dia ingin menjadikan buah tamar itu cantik dan besar. Kemudian, Baginda ﷺ memberitahunya bahawa jika tidak melakukan sedemikian pun tidak mengapa kerana perkara itu telah ditentukan oleh-Nya.
 
Sahabat itu pun berhenti melakukannya kerana teringat akan larangan Nabi Muhammad ﷺ. Apabila pokok tamar berbuah, hasilnya tidak elok seperti kebiasaannya. Rasulullah ﷺ bertanya akan sebabnya. Lalu, sahabat menjawab kebiasaannya dia akan mencantumkan benih namun dia berhenti melakukannya akibat Baginda ﷺ telah melarangnya. Baginda ﷺ berkata “Kamu lebih tahu urusan dunia kamu.” Maksudnya, Rasulullah ﷺ menjelaskan bahawa Baginda ﷺ sekadar memberi pandangan kerana tiada pengalaman dalam hal tersebut. Di Makkah, tiada pokok tamar. Buah tamar yang kita makan pada hari ini adalah dari Madinah, Iran, Palestin serta Tunisia.
 
Ada pula sesetengah orang menggunapakai hadis ini dan meleret. Mereka mendakwa bahawa untuk memerintah negeri tidak usah mengambil peduli akan agama kerana urusan memerintah negeri dianggap sebagai urusan dunia. Ia tidak benar sama sekali. Kita mesti mempunyai dasar atau tempat rujukan untuk mentadbir suatu negeri atau negara, rumahtangga, masyarakat, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya supaya menepati agama, tidak melanggari syarak dan diredai oleh Allah SWT. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati dengan orang yang terlalu longgar (tafrid) dan terlalu ekstrem (ifrad). Jadilah umat yang berada di pertengahan kerana itu adalah yang terbaik.
 
Pada masa dahulu, ada masalah yang berlaku di Afghanistan. Orang perempuan tidak boleh keluar dari rumah dan pergi sekolah. Ada ulamak di sana berpendapat bahawa orang perempuan adalah punca kepada fitnah. Jika mereka keluar dari rumah, dipercayai bahawa kejahatan akan merebak. Mereka juga tidak boleh belajar menulis atau membaca kerana dikhuatiri mereka akan memikat lelaki melalui surat. Mereka hanya dibenarkan keluar dari rumah jika ingin pergi ke rumah mertua. Perkara ini tidak bertepatan dengan ajaran Islam.
 
Dalam sirah, Asma’ binti Abu Bakar yang merupakan isteri az-Zubair dan ibu kepada Abdullah bin Az-Zubair pernah bekerja sendiri di kebun setiap hari. Nabi Muhammad ﷺ tidak melarangnya kerana ramai perempuan berurusan harian. Islam membenarkan wanita keluar bekerja cuma hendaklah menjaga batas seperti tidak tabarruj (berhias berlebih-lebihan), meminta izin daripada suami dan menjaga pergaulan.

Ada sesetengah isteri apabila suami memberi keizinan untuk bekerja, mereka memakai pakaian yang sangat cantik dan memakai bau-bauan yang sangat wangi. Apabila bersama kawan, mereka tidak mengira lelaki atau perempuan, bersentuhan dan duduk berdekatan. Hal ini yang perlu kita perbaiki. Bekerja tidak salah tetapi kita hendaklah memahami agama. Apabila kita benar-benar menghayati sirah, kita akan melihat bahawa Islam adalah agama yang indah.
 
Contoh lain apabila usia sudah tua, kita suka menyimpan janggut. Sedangkan menyimpan janggut adalah sunnah sahaja. Tetapi ada orang yang menganggap ia sebagai wajib hatta seurat pun mesti disimpan. Sehinggakan ada yang sanggup mencari minyak sapi supaya janggut menjadi tebal. Semasa zaman Nabi Muhammad ﷺ, ia menjadi wajib kerana bagi membezakan antara orang Islam dengan orang kafir. Orang Yahudi mereka mencukur janggut dan menyimpan misai.
 
Suatu masa dahulu ada satu kerajaan Islam telah mengeluarkan peraturan supaya orang bukan Islam hanya menggunakan warna-warna tertentu sahaja. Orang Islam pula ada warna-warna yang khusus. Umpama orang awam pada zaman dahulu tidak boleh memakai pakaian yang berwarna kuning kerana ia adalah pakaian raja. Peraturan tersebut adalah berdasarkan suasana yang ada pada ketika itu.
 
Dalam hukum fiqh, apabila tiada sebab, maka tiadalah hukum. Sayyidina Umar R.A. pernah tidak memberi zakat kepada muallaf. Hal ini kerana pada zaman Nabi Muhammad ﷺ, muallaf merupakan orang kafir yang berjinak-jinak nak masuk Islam. Pada zaman Sayyidina Abu Bakar R.A. pun turut diberi zakat kepada muallaf supaya mereka berminat dengan Islam dan memeluk Islam. Pada zaman Sayyidina Umar, zakat dihalang untuk diberikan kepada muallaf walaupun ia disebut dalam Al-Quran.

Muallaf adalah termasuk dalam golongan asnaf yang layak menerima zakat. Sahabat bertanya mengenai sebab bagi tindakan Sayyidina Umar tersebut. Lalu Sayyidina Umar menjawab bahawa zaman dahulu merupakan zaman di mana Islam tidak kuat, Jadi apabila kita ingin orang bukan Islam tertarik dengan Islam, maka kita memberikan zakat kepada mereka. Manakala ketika zaman Sayyidina Umar, Islam sudah kuat. Orang bukan Islam tiada di Madinah, maka sudah tidak menjadi keperluan untuk memberikan zakat kepada orang bukan Islam.


وَأَنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْءَاخِرَةِ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
 
“Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Ayat 10)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang tidak beriman akan disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Jadi, terpulang kepada kita sama ada menginginkan ganjaran besar atau azab pedih. Jika kita menginginkan ganjaran besar, maka kita kena beriman dengan iman yang betul ibarat kain putih yang bersih daripada kotoran. Satu lagi kita mestilah beramal soleh di mana perkara itu bukan sahaja baik tetapi biar sesuai pada tempatnya.
 
Jika kita terlalu lapar yang tidak sanggup untuk menahan, makanlah terlebih dahulu sebelum menunaikan solat berjemaah. Contohnya, makan malam terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Isyak kecuali jika berada dalam waktu yang singkat. Jika kita makan terlebih dahulu yang menyebabkan kita akan terlepas waktu solat, maka tunaikanlah solat terlebih dahulu. Apabila kita menunaikan solat dalam keadaan perut yang sangat lapar, tiada kekhusyukan dalam solat. Jika imam pula membaca surah yang panjang bacaannya misalnya surah Al-Baqarah, mulalah kita nak memaki imam.
 
Kita selalu berfikir bahawa Islam adalah agama yang susah sebab kita sendiri tidak memahami agama kita. Nabi Muhammad ﷺ jika ada dua pilihan di hadapannya, Baginda ﷺ akan memilih perkara yang mudah dan selagi tidak menyebabkan dosa. Ada seorang Sahabat yang bernama Abdullah bin ‘Abbas ingin berpuasa setiap hari. Rasulullah ﷺ menyuruhnya agar berpuasa sebulan sekali seperti dalam bulan Ramadan.

Sahabat itu memberitahu bahawa ia tidak memadai kerana dia masih gagah. Lalu Baginda ﷺ menyuruhnya agar berpuasa selama tiga hari sebulan seperti Ayyamul Bidh iaitu pada 13, 14 & 15 hari bulan. Sahabat itu memberitahu bahawa dia mampu melakukan yang lebih lagi. Baginda ﷺ pun berpesan kepada Sahabat itu supaya berpuasa seperti Nabi Daud A.S. iaitu selang sehari.

Sahabat itu memberitahu bahawa dia masih mampu dan tetap bersungguh untuk berpuasa setiap hari. Kemudian Baginda ﷺ menyerahkan urusan tersebut kepadanya. Dengan takdir Allah SWT, usia Sahabat itu lanjut selama 80 tahun. Ada waktu dia mengeluh dan teringat akan nasihat Baginda ﷺ suatu ketika dahulu. Oleh itu, janganlah menyusahkan diri kita kerana kita tidak mampu melaksanakan perkara yang sukar jika terpaksa. Carilah yang mudah dan mampu untuk dilaksanakan.
 
Ada tiga orang Sahabat yang datang berjumpa dengan Sayyidatina ‘Aisyah R.A. Mereka bertanya kepada Sayyidatina ‘Aisyah akan kehidupan Nabi Muhammad ﷺ di rumah. Sayyidatina ‘Aisyah R.A. memberitahu bahawa kehidupan Rasulullah ﷺ juga sama seperti orang lain. Ada hari Baginda ﷺ berpuasa, ada hari tidak berpuasa. Ada masa Baginda ﷺ mengerjakan solat sunat, ada masa rehat. Ada masa Baginda ﷺ berjaga malam, ada masa tidur sekejap sebelum Subuh. Apabila azan berkumandang, Nabi ﷺ bangun dan terus menunaikan solat.

Baginda ﷺ tidak mengambil wuduk kerana menurut ulamak, walaupun matanya pejam tetapi hatinya jaga. Dalam mazhab Syafie, jika kita bangun daripada tidur, kita haruslah mengambil wuduk kecuali tidur dalam keadaan yang tetap papan punggung. Selain daripada keadaan itu, dikhuatiri sama ada wuduk kita masih sah atau sudah batal.
 
Ada masa Nabi Muhammad ﷺ mendekati isteri, memberi nafkah zahir dan batin dan bergurau dengan isteri. Bukan berzikir sehingga lupa terhadap isteri. Sahabat mendakwa bahawa segala yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ itu adalah hal yang tiada masalah kerana Baginda ﷺ sudah dijamin masuk ke dalam syurga.
 
Ada antara mereka bernekad mulai hari itu dia tidak mahu berkahwin. Ingin hidup bujang sebab apabila sudah mempunyai isteri, susah untuk bangun tahajud. Seorang Sahabat lagi juga bernekad mulai hari itu dia ingin berpuasa setiap hari. Seorang Sahabat lain pula bernekad mulai hari itu dia ingin menunaikan solat sepanjang masa dan tidak mahu tidur.
 
Kebetulan Nabi Muhammad ﷺ pulang dan terdengar perbualan mereka. Lalu Rasulullah ﷺ melarang mereka agar berbuat sedemikian. Baginda ﷺ berpesan bahawa kita mempunyai hak kepada Tuhan, hak terhadap diri sendiri serta tanggungjawab kepada isteri, anak dan keluarga. Hak kepada Tuhan merangkumi solat dan ibadah-ibadah lain. Hak kepada diri pula merangkumi makan, minum, tidur dan rehat. Anak dan isteri juga hendaklah dijaga.
 
Sebelum kita sebagai suami ingin keluar dari rumah haruslah memastikan duit belanja telah diberikan kepada isteri. Ada sesetengah daripada kita apabila keluar dari rumah selama dua atau tiga bulan, isteri pula terpaksa menjual kuih atau meminta duit daripada orang lain. Kita bermudah-mudah dengan menyebut tidak mengapa kita tawakal sahaja kepada Allah SWT. Konsep tawakal ini sebenarnya tidak tepat. Kita perlu sedar akan tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Ingin keluar rumah lama mana sekalipun tidak mengapa asalkan memberitahu kepada isteri secara baik dan meninggalkan duit belanja untuk isteri dan anak.
 
Contoh teladan yang paling utama kepada kita ialah Nabi Muhammad ﷺ. Rasulullah ﷺ makan, minum, bergurau dan tinggal dengan isteri, berkawan, ziarah, pergi ke kedai tetapi Baginda ﷺ tidak meninggalkan ibadah. Pada zaman Sayyidina Umar R.A., ada seorang anak muda yang duduk dalam masjid, beriktikaf dan tidak pergi ke mana-mana. Sayyidina Umar bertanya kepada orang di kawasan itu tentang anak muda itu, asal dari mana dan kerja apa. Mereka memberitahu kepada Sayyidina Umar bahawa anak muda itu tidak bekerja serta sering berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa. Makan minum pula dia pergi ke rumah adik beradiknya. Selepas kenyang, dia kembali ke masjid.
 
Sayyidina Umar mendengar hal tersebut lalu mengangkat tongkatnya dan memukul di atas belakang anak muda itu. Baginda menghalaunya keluar. Sayyidina Umar memberitahunya jika dia berdoa setara mana pun, langit tidak akan menurunkan emas. Anak muda itu masih sihat dan muda. Oleh sebab itu, Sayyidina Umar menyuruhnya agar pergi mencari kerja. Apabila tiba waktu solat, datanglah ke masjid. Oleh itu, Islam tidak menggalakkan kita untuk pergi bertapa di dalam hutan selama 40 hari sehinggakan solat Jumaat dan keluarga entah ke mana.
 
Menurut ulamak, sebab Nabi Muhammad ﷺ dipilih dalam kalangan manusia adalah untuk memberitahu bahawa kita boleh melaksanakan ajaran agama. Jika malaikat dilantik sebagai Nabi, orang akan mendakwa bahawa ia adalah suatu hal yang tiada masalah kerana malaikat tiada nafsu. Kita kadang-kadang bukan tidak boleh lakukan tetapi sebab kita malas. Pelbagai alasan dicipta ketika hendak tunaikan solat, bahkan ibadah-ibadah lain.


وَيَدْعُ ٱلْإِنسَٰنُ بِٱلشَّرِّ دُعَآءَهُۥ بِٱلْخَيْرِ وَكَانَ ٱلْإِنسَٰنُ عَجُولًا
 
Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.”

(Ayat 11)

Apabila berasa marah, kita akan lupa diri. Ketika kita diuji dengan sakit yang teruk, kita kadang-kadang merungut agar kita cepat meninggal dunia kerana itu lebih baik. Ia menandakan bahawa kita sedang berdoa keburukan terhadap diri. Kita dah tidak fikir bahawa sakit merupakan ujian Allah SWT. Allah SWT ingin membersihkan diri kita daripada dosa.
 
Sebagai orang yang beriman, kita sepatutnya berfikir bahawa sebab kita diuji dengan sakit adalah mungkin kita telah berbuat banyak kesalahan. Masjid tidak kita kunjungi. Ceramah pula tidak kita dengari. Maka, Allah SWT menegur kita dengan penyakit. Kadang-kadang, Allah SWT ingin menyucikan kita daripada dosa sebab kita tidak menyedari bahawa kita ada berbuat dosa. Dengan sendirinya kita akan bersih daripada dosa apabila bertemu dengan Allah SWT nanti.


وَجَعَلْنَا ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ ءَايَتَيْنِ فَمَحَوْنَآ ءَايَةَ ٱلَّيْلِ وَجَعَلْنَآ ءَايَةَ ٱلنَّهَارِ مُبْصِرَةً لِّتَبْتَغُوا۟ فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ وَلِتَعْلَمُوا۟ عَدَدَ ٱلسِّنِينَ وَٱلْحِسَابَ وَكُلَّ شَىْءٍ فَصَّلْنَٰهُ تَفْصِيلًا
 
“Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.”

(Ayat 12)

Allah SWT menyebut dua tanda kebesaran-Nya iaitu pertukaran siang dan juga malam. Ketika waktu siang, kecerahannya sehingga lampu tidak diperlukan dan cukup hanya dengan matahari. Ketika waktu malam, lampu ‘spotlight’ sahaja tidak memadai kerana kecerahannya hanya fokus pada satu-satu tempat. Inilah kebesaran Allah SWT.
 
Siang dan malam di tempat yang berbeza juga tidak sama. Ada tempat yang mengalami siang selama 12 jam. Ada tempat yang mengalami malam yang lebih panjang iaitu pada musim sejuk. 8 pagi masih waktu malam dan 4 petang sudah masuk waktu Maghrib. Puasa sangat ‘best’ waktu ini kerana waktu siangnya pendek. Jika pada musim panas, siang lebih panjang. 2 pagi sudah masuk waktu Subuh dan Maghrib masuk jam 9.30 malam. Setelah selesai solat terawih, kita tidak boleh tidur kerana bimbang terlepas waktu Subuh. Di tempat lain pula contoh di Antartika, ia mengalami siang selama 6 bulan siang dan malam selama 6 bulan.
 
Tujuan Allah SWT menjadikan waktu siang adalah supaya manusia mencari nafkah. Waktu malam pula masa untuk kita berehat, bersama keluarga dan juga beribadah. Kita tidak digalakkan untuk berniaga sehingga waktu malam. Di negara bukan Islam, kedai makan ditutup pada jam 8 malam. Jadi, waktu makan malam adalah sebelum jam 7 malam. Kedai runcit pula ditutup biasanya pada jam 5 petang ataupun paling lewat pada jam 6 petang kecuali 7-Eleven yang dibuka selama 24 jam.
 
Selain itu, Allah SWT menjadikan perubahan siang dan malam adalah bertujuan supaya kita boleh membuat hitungan seperti hari dan masa. Kita boleh menyusun jadual kehidupan kita. Contoh sistematik adalah melalui solat. Menurut ulamak, solat diperintahkan kepada kita adalah supaya hidup kita bersistem. Bangun pagi sebelum berbuat apa-apa, tunaikanlah solat Subuh terlebih dahulu. Tengah bekerja, Allah SWT menyuruh kita untuk mencari-Nya lagi dan tunaikanlah solat Zohor. Letih selepas bekerja, tunaikanlah solat Asar. Malam pula, tunaikanlah solat maghrib sebagai penutup siang manakala solat Isyak pula sebagai penutup malam.
 
Contoh lain di Jepun, rakyatnya berjalan atau menaiki tangga dengan berbaris. Berbeza dengan kita, menaiki tangga sesuka hati atau sambil berbual. Di England, masa keretapinya begitu ‘sharp’. Sekiranya kita ternaik lebih awal atau lebih lewat, kita sudah menaiki keretapi yang menuju ke destinasi lain.
 
Solat berjemaah mengajar kita supaya berdisiplin. Jangan melebihi ketua (imam). Berdiri di dalam saf yang sama. Jangan selesai mendahului imam. Jangan meninggikan suara yang lebih kuat daripada imam. Kadang-kadang kita hanya berfikir tentang memperoleh pahala 27 berjemaah. Pengajaran atau falsafah solat tidak pula kita ingin mengambil peduli dan menyemat di dalam jiwa. Setelah selesai solat pun, ada yang berebut dengan imam semasa nak keluar dari masjid.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 13 Jun 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 18/6/2022