‘Tasamuh’ sebagai tunjang kekuatan Keluarga Malaysia

- Advertisement -

PERDANA Menteri (PM) Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al Quran 2022 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bharu baru-baru ini telah menekankan konsep ‘tasamuh’ iaitu suatu ajaran dalam Islam yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan. 

Menurut PM konsep ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

Tambah PM ‘tasamuh’ adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud ‘toleransi ’atau ‘berlapang dada’. Dalam maksud yang lain adalah bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi. Misalnya toleransi dalam agama ialah sikap saling menghormati hak dan kewajipan antara agama.

Adalah diakui bahawa dalam negara seperti Malaysia, yang berbilang kaum dan agama ini, toleransi dalam budaya dan agama sangat penting kerana ianya tonggak yang akan menjamin kehidupan aman, harmoni dan perpaduan di kalangan masyarakat.

Malaysia unik kerana walaupun warganya terdiri dari pelbagai kaum dan agama, dengan adat budaya dan bahasa serta kepercayaan masing-masing yang berbeza-beza, namun masyarakatnya boleh hidup dengan aman dan damai mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing dalam keadaan tenang dan bebas tanpa gangguan serta diskriminasi.

Berbeza dengan negara-negara di mana diskriminasi kaum dan agama sangat ketara sehingga mencetuskan ketegangan dan porak peranda. 

Di India sahaja contohnya hari ini kita lihat rakyatnya yang satu asal keturunan namun berbeza agama boleh berbalah sehingga memusnahkan harta benda dan nyawa lantaran tiada toleransi

Demikian juga di Palestin rejim haram Israel terang-terangan mengamalkan apartheid dengan mendiskriminasi anak jajahnya semata-mata kerana perbezaan bangsa dan agama.

Sukar dikesan konsep ‘tasamuh’ dalam bermasyarakat dan bernegara di tempat lain kecuali di Malaysia. Kerana itu sebagaimana saranan PM oleh kerana rakyat di negara ini dapat mudah berpegang pada konsep mulia ini sewajarnya ia dijadikan perkara utama buat Keluarga Malaysia untuk bergerak ke hadapan sejajar dengan peredaran masa kini.

Tidak dapat dinafikan faktor sejarah banyak menyumbang ke arah kejayaan konsep ini di kalangan rakyat Malaysia. Sesungguhnya keterbukaan dan besarnya jiwa umat Melayu dan Bumiputera asal di negara ini di awal kemerdekaan negara bersetuju menerima keturunan Cina dan India yang bermastautin di Tanah Melayu sebagai warganegara dengan syarat-syarat tertentu telah memungkinkan lahirnya masyarakat berbilang kaum dalam negara ini.

Demi mencapai kemerdekaan pengorbanan besar dibuat sehingga sanggup berkongsi tanah bertuah ini dengan keturunan selain Melayu dan Bumiputera adalah permulaan sikap toleransi rakyat Malaysia yang sukar dicontohi negara lain.

Sekiranya semua pihak yang kini menjadi warganegara Malaysia yang merdeka sedar dan akur akan lipatan sejarah ini, maka konsep tasamuh akan kekal berkembang dengan sihat dan memberikan manfaat dan kebaikan buat rakyat dan negara.

Bersama pengorbanan besar tadi datang beberapa hak dan keistimewaan yang diberi jaminan tidak akan dirongkai atau dikorbankan sampai bila-bila. Itulah dia anatarnya hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedaulatan Raja-raja Melayu.

Malaysia akan kekal aman dan stabil sekiranya semua rakyatnya meluhuri Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara yang di dalamnya termaktub dengan tinta emas hak dan keistimewaan ini.

Dalam waktu yang sama hak masyarakat lain untuk mengamalkan adat, budaya, bahasa dan kepercayaan mereka turut diberi jaminan. 

Selagi mana semua pihak menghormati apa yang termaktub dan amalan kita turun-temurun maka selagi itulah konsep ‘tasamuh’ ini akan menjadi budaya masyarakat Malaysia yang dicemburui pihak lain.

Dan sebagaimana dinyatakan PM dalam ucapannya: “Islam adalah agama yang sangat menghargai perbezaan di dalam batasan tertentu… Mana-mana budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi.”

Di sini juga semua pihak perlu menghormati dan memahami pegangan umat Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara hari ini. Sebagaimana hak bersuara dalam negara punya batasan, demikian juga hak ‘tasamuh’ ini dalam Islam juga punya batasan yang perlu difahami bukan hanya oleh umat Islam tetapi juga warga Malaysia yang bukan-Islam.

Umat Islam boleh bersama meraikan adat dan budaya bukan-Melayu dan bukan-Islam, tetapi apabila sahaja amalan tadi didapati bertentangan dengan akidah dan kepercayaan Islam, maka ianya tidak boleh dirai atau disertai oleh umat Islam.

Tetapi ini tidak bermakna umat Islam akan menentang adat atau budaya tadi, ianya kekal adat dan budaya kaum lain yang boleh diterima cuma lantaran ianya punya unsur-unsur yang bertentangan dengan Islam, maka umat Islam tidaklah boleh merai atau menyertainya.

Malah dalam adat dan budaya Melayu sendiri ada beberapa amalan turun-temurun yang kini sudah tidak lagi diraikan kerana perkembangan ilmu memberi keinsafan dan kesedaran bahawa ianya bertentangan dengan Islam dan wajib ditinggalkan. Antaranya acara mandi safar, mandi tolak bala, puja pantai, tangkal dan azimat semuanya sudah ditinggalkan dalam masyarakat Melayu hari ini.

Memahami batas dan larangan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama juga sebenarnya jatuh dalam konsep ‘tasamuh’.

Kerana itu pada hari ini dalam majlis-majlis keraian tertentu yang turut dihadiri bukan-Islam, umat Melayu Islam tidak menghidangkan masakan daging lembu contohnya kerana menghormati kepercayaan kawan-kawan beragama Hindu, ini adalah satu contoh ‘tasamuh’ yang unik.

Demikian juga masyarakat bukan-Islam, apabila dikunjungi kawan-kawan Melayu mereka juga akan memastikan hidangan khas disediakan untuk tetamu Muslim mereka, kita sukar mendapati amalan seumpama ini di negara lain.

Buat masyarakat Islam, kuasa yang menentukan bahawa satu-satu amalan itu bertentangan dengan hukum agama sudah pastilah institusi yang berwajib iaitu Institusi Mufti, Majlis dan Jabatan Agama yang punya ‘authority’ yang diiktiraf.

Lantas apabila sahaja nasihat diberi, sewajarnya umat Islam yang kuat mempertahankan akidah kepercayaannya akan akur dan taat. Dalam waktu yang sama masyarakat bukan-Islam sewajarnya berlapang dada.

Jika ini lahir dan berkembang sihat dalam masyarakat ‘Keluarga Malaysia’, pasti Tasamuh kekal sebagai asas utama dalam menghadapi keragaman dan perbezaan bangsa dan agama di Malaysia sampai bila-bila.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -