PRU15: PAS, Umno, BERSATU jadi kerajaan terkuat!

PAS akan tetap usaha pertahan hubungan bersama Umno menerusi Muafakat Nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS, Umno dan BERSATU akan menjadi kerajaan Melayu-Islam terkuat dalam sejarah negara seandainya tiga parti besar ini dapat menyertai PRU15 dengan persefahaman bersama.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah menegaskan, kerjasama tiga parti ini mesti diikat atas dasar ummah demi untuk terus menjaga kepentingan agama dan bangsa negara ini.

Menurut beliau, PAS yakin ketiga-tiga parti akan dapat disatukan sebelum PRU15 dan turun PRU15 untuk mendapat kemenangan majoriti lebih kukuh mengatasi jauh Pakatan Harapan (PH).

Beliau berucap dalam Majlis Ceramah Perdana dan Penyerahan Borang Masuk PAS anjuran PAS Kawasan Besut di Padang Futsal Padang Luas Dalam di Besut, 15 Jun baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu dalam ceramah tersebut menyenaraikan isu negara antaranya kejatuhan teruk matawang apabila tukaran ringgit berada pada kadar hampir RM4.50 berbanding dolar Amerika.

Begitu juga dalam aspek pendidikan yang melahirkan ramai bijak pandai tetapi terpalit dengan banyak masalah sosial hingga tidak mencapai maksud atau tujuan ketinggian pendidikan itu sendiri.

Katanya, masalah terjadi kepada negara itu antaranya adalah disebabkan oleh ketidakstabilan politik di mana wujud kegilaan kepada kuasa dan jawatan serta berebut mahu menjadi calon PRU.

“Mereka yang gila nak kuasa tapi PAS yang disalahkan. Umno Terengganu dulu yang mula-mula isytihar tidak mahu bersama PAS tetapi tiba-tiba PAS pula yang dituduh tidak mahukan Muafakat Nasional (MN). 

“Umno Terengganu masa kita tengah baik (dalam MN) pun dah isytihar hendak lawan PAS di semua kerusi DUN Terengganu pada PRU15,” bidas beliau yang turut kesal langkah sama disusuli Umno Kelantan.

Sedangkan menurutnya, ahli-ahli Umno di banyak peringkat begitu gembira dan memberi pengharapan tinggi terhadap hubungan PAS-Umno menerusi MN yang termeterai.

Beritahu Dato’ Amar, Umno Kelantan walaupun dinasihati untuk tidak memutuskan hubungan dengan PAS, namun tetap berbuat demikian kerana wujud desakan Ketua-ketua Bahagian.

Beliau menerima maklumat, tindakan tersebut disebabkan mahu menjadi calon PRU15, kerana sekiranya tidak berbuat demikian maka tiada wang akan diperuntukkan kepada mereka.

PAS tetap pertahan MN

PAS katanya, akan tetap berusaha mempertahankan hubungan dengan Umno menerusi MN dan sama sekali tidak memulakan langkah memutuskan sebagaimana suara-suara di pihak Umno.

Tegas beliau, pendirian PAS itu jelas dan ia dilakukan semata-mata kepentingan Islam dan Melayu, namun jika Umno mahu putuskan, PAS tiada masalah untuk lawan parti itu pada PRU15.

Kupas Mohd Amar, PAS mempunyai pengalaman sangat panjang ‘bergaduh’ dengan Umno hingga ada ahli dan pimpinan PAS ditetak bunuh, dinafikan subsidi serta pelbagai hak-hak lainnya.

“Kenapa berlawan dulu? Kerana nak ajak Umno ini kepada Islam. Supaya Umno terima dasar Islam dan dilaksanakan di Malaysia. Buat perintah al-Quran dan as-Sunnah ini setakat yang mampu di Malaysia. Sebab tu kita (PAS) lawan,” jelasnya. 

Beliau menyifatkan Umno pada PRU14 dahulu seperti telah hampir mati dilanggar lori dan PAS sebagai lawan politik patut membiarkan sahaja sedemikian, tetapi sebaliknya datang menolong.

“Sebab PAS mahu mengelak politik sekular terus gagah terutama DAP yang anti-Islam. Maka dari kita tengok DAP berkuasa penuh di Malaysia, buat dasar-dasar yang bercanggah dengan kepentingan Islam dan kepentingan kita orang Melayu.

“Maka PAS hulur tangan kepada Umno,” terangnya sambil menyindir bahawa pertolongan kepada Umno ketika itu hingga terpaksa juga mencuci najis berak parti tersebut, tetapi selepas ditolong Umno pula meletakkan tahi kepada PAS.

Tetapi sekali lagi ditegas ADUN Panchor itu, PAS berbaik dengan Umno bukan kerana mahu menjadi kerajaan, sebaliknya bersama menjaga maslahah diniyah atau kepentingan agama.

Walaupun pada permulaan hubungan tersebut maklumnya, ramai ahli-ahli PAS tidak bersetuju dan sukar menerima, tetapi dibuktikan sebaliknya menerusi kejayaan dalam beberapa siri PRK yang berlaku.

“Kalau boleh kerjasama tiga parti ini, kita akan jadi kerajaan terkuat. Iaitu kerajaan Melayu-Islam paling kuat dalam sejarah Malaysia. Ini bacaan politik. 

“Tapi kalau kita pecah, orang lain (PH) akan naik dan kita tengok sahaja,” peringat beliau membawa pengajaran kisah teladan Pak Kadok di mana akhirnya ‘menang sorak, kampung tergadai’. – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -