TRENDING hari ini mengenai imbuhan yang bakal dibincang untuk diberi kepada pemain skuad Harimau Malaya yang telah menjadi pasukan ke-23 daripada 24 negara yang layak ke Piala Asia.
Rata-rata peminat sukan berpuas hati dan merasakan pengumuman kerajaan amat tepat dan wajar. Ia penantian puluhan tahun.
Dan layaknya pasukan negara ini beberapa hari lalu, disambut dengan kegembiraan, senyuman, sorakan, teriakan, air mata seluruh penyokong di stadium mahupun yang berada di rumah.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan itu akan diadakan minggu hadapan dan mereka juga akan menentukan pihak yang lebih layak untuk menerima imbuhan terbabit. Sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau pemain skuad Harimau Malaya, jika ada.
Langkah kerajaan ini mendapat respon daripada pemerhati sukan tempatan, Zakaria Rahim yang menimbulkan rasa tidak puas hati beliau akan pengumuman segera imbuhan ke atas skuad bola sepak. Sedangkan katanya, atlet sukan negara yang lainnya turut menyinar sebelum ini, namun tidak mendapat perhatian.
“Pasukan hoki negara masuk final Piala Asia, naib juara Asia, layak ke Piala Dunia 2023, ranking ke-10 dunia, mana imbuhan? Mereka pulang pun tidak disambut,” katanya.
Namun, sedikit kelegaan sebenarnya apabila YAB PM dalam kenyataan berkait Harimau Malaya juga ada menyebut bahawa perbincangan akan turut diperluas bagi menentukan bentuk imbuhan akan diberikan kepada skuad hoki negara yang melayakkan diri ke Piala Dunia 2023.
Kebimbangan Zakaria Rahim itu ada asas namun kerajaan juga diharap mengotakan cadangan untuk memikirkan imbuhan skuad hoki.
Sebelum ini, skuad hoki lelaki kebangsaan mengesahkan tiket beraksi di Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia. Selain Malaysia, Jepun dan Korea Selatan turut melengkapkan kuota empat pasukan dari benua Asia beraksi di Piala Dunia tahun depan.
Selain skuad bola dan skuad hoki, turut dibangkitkan Zakaria adalah mengenai atlet terjun negara yang menunjukkan prestasi luar biasa dengan membolot lapan emas dalam Sukan SEA tempoh hari.
Berbalik kepada hoki, kejayaan masuk ke final Piala Dunia ini adalah kali kesembilan bagi negara kita. Seawal diperkenalkan pada 1971 dan pencapaian terbaik adalah meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.
Mereka juga berjuang demi negara, sekurang-kurangnya mereka memanfaatkan peluang yang ada dalam sukan itu untuk mengharumkan nama Malaysia. Tahun 2014, 2018 dan kini 2022 kita layak ke pentas akhir menandakan konsistennya kualiti dan prestasi skuad hoki negara.
Awal tahun 2022 kerajaan ada memberi dana sebanyak RM10 juta kepada FAM. Bagus dan terima kasih. Namun lebih cantik jika Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) juga diberikan satu imbuhan besar untuk mempersiapkan pasukan impian negara ini menjuarai edisi dunia tahun hadapan di India.
Selasa lalu, pasukan Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk lolos ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas mengalahkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Rakyat Malaysia boleh bersetuju sekiranya KBS kaji semula keutamaan untuk memberikan imbuhan bagi sukan bola sepak. Boleh beri kepada pemain, tetapi keutamaan juga perlu diberi kepada pasukan.
Skuad senior dan pasukan Bawah 17 tahun (B-17) yang sedang bersiap untuk layak ke Piala Dunia B-17, kedua-duanya perlu diberi imbuhan. Mereka ini aset masa hadapan kita, prospek ke Piala Dunia 2030.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) lihatlah perkembangan dan pembangunan sukan negara secara keseluruhan. Atlet bola sepak, hoki, terjun, olahraga, paralimpik, dan semuanyalah.
Apa cerita dengan sukan skuasy negara, di mana pengganti ratu boling negara, apa pula berita badminton dan lain-lainnya? Mereka semua pejuang dan rela berkorban untuk mengharumkan nama negara.
Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Menteri yang bertanggungjawab kini, dengarlah semua seruan dan saranan peminat sukan negara ini.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 17/6/2022
Pilih kasih Harimau Malaya? Faizal Azumu wajib dengar
- Advertisement -