Perketatkan tapisan filem dan drama yang berunsur LGBT

- Advertisement -

BEBERAPA hari lepas, kita dikejutkan dengan filem animasi terbaharu Hollywood, Lightyear yang terkenal dengan watak renjer angkasa lepas telah diharamkan di 14 buah negara seluruh dunia termasuk Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan kewujudan adegan ciuman sejenis antara wanita dengan wanita berunsur Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transeksual (LGBT) dalam filem ini. 

Lebih mengejutkan adalah pendedahan daripada President General Entertainment Content Disney, Karey Burke yang pernah menyatakan komitmen syarikat mereka untuk memasukkan sekurang-kurangnya 50 peratus karakter kumpulan minoriti dan LGBT dalam filem-filem mereka. Usaha mereka ini dipercayai sebagai sebahagian daripada kempen ‘Reimagine Tomorrow‘, suatu kempen inklusif negatif yang mempromosi budaya songsang ke dalam masyarakat.

Tindakan mereka yang mahu menormalisasikan budaya songsang ini jelas mendatangkan kemudaratan yang besar berikutan filem-filem terbitan mereka banyak ditonton oleh golongan kanak-kanak dan remaja. Bahkan, budaya ini tidak boleh diterima oleh akal dan fitrah manusia serta agama Islam seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud:

- Advertisement -

“Patutkah kamu melakukan hubungan sejenis dengan lelaki dalam kalangan manusia? (165) Dan kamu tinggalkan apa yang telah diciptakan oleh Tuhan untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) daripada isteri-isteri kamu? Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!” (166)

 (al-Syu’ara 26: 165-166)

Melihat kesan buruk dari pendedahan budaya songsang, saya menyokong sepenuhnya tindakan pihak berkuasa di Malaysia yang menyekat penayangan filem ini di negara kita. Saya menggesa pihak berkuasa meneruskan dan mengetatkan lagi prosedur penapisan filem dan drama keluaran dari negara-negara Barat yang mengandungi unsur LGBT ini. 

Saya juga berharap pihak berkuasa tidak tunduk kepada tekanan golongan liberal yang mahu filem-filem seperti ini diluluskan penayangan atas dasar kebebasan hak asasi manusia.  

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -