PAS ada rancangan masa depan untuk Malaysia

Dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051)

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS satu-satunya parti di negara ini yang mempunyai perancangan masa depan untuk Malaysia yang digariskan menerusi dokumen lengkap Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051).

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menegaskan, tiada parti lain memiliki ‘blueprint’ dan ‘roadmap’ sekemas itu meliputi segenap aspek.

“Dokumen lengkap untuk baiki dan pulih negara Malaysia ini dalam 30 tahun, terperinci dalam segenap aspek. Ini kelebihan yang menunjukkan jauhnya pemikiran, pandangan dan perancangan PAS,” ujarnya turut memberitahu beberapa lagi selain itu. 

Parti lain katanya, sekadar memiliki manifesto PRU itupun hanya untuk sepenggal atau 5 tahun, serta pengurusan belanjawan bagi satu tahun, selain Rancangan Malaysia (RMK) yang cuma dalam 5 tahun juga.

Untuk rekod, PAS juga mempunyai Dokumen Hijau berkait penyelesaian ekonomi, selain pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), serta dokumen dasar sektor, termasuk idea seperti Kerajaan Teknokrat serta Gagasan Sejahtera.

Perkara itu diucapkannya dalam Majlis Ceramah Perdana dan Penyerahan Borang Masuk PAS anjuran PAS Kawasan Besut di Padang Futsal Padang Luas Dalam di Besut, 15 Jun baru-baru ini.

Menurut beliau, orang ramai sebenarnya menaruh harapan yang tinggi kepada PAS terutama sejak parti itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan pada ketika ini.

“Sebab itu hari ini bila kita (PAS) duduk Putrajaya, walaupun hanya ada tiga Menteri dan lima Timbalan Menteri, tetapi sebahagian orang anggap macam PAS (mengetuai) pemerintahan Malaysia. Sebab sikit-sikit tanya PAS buat (tindakan) apa (sesuatu isu)?. 

“Mana PAS dok kecek (menyuarakan) selama ini? Anggap supo(seperti) kita (mengetuai) memerintah. Antaranya harapan orang kepada PAS besar, mereka harap kita boleh buat dan laksana cita-cita Islam. Tetapi kita (hanya) ada 18 kerusi (Parlimen).

“Jadi nak lihat PAS boleh perintah dengan baik dan asas negara ini berdasarkan Islam, (maka) kena sokong PAS dan beri peluang lebih banyak (menang kerusi Parlimen),” ujar beliau menyifatkan kini adalah ‘zaman PAS’ merujuk kepada parti itu kini berada di puncak persada politik tanah air.

Beliau optimis PRU15 nanti PAS akan kekal memerintah kerajaan negeri ditadbir, serta menambah kerusi DUN dan menang bertapak lebih kukuh di Putrajaya dengan menjadi komponen yang kuat dalam Kerajaan Persekutuan.

Ketika itu katanya, PAS boleh melaksanakan banyak cita-cita dan hasrat Islam yang diharapkan rakyat kepada parti ini sebagaimana telah usaha diperjuang untuk dimartabatkan selama ini.

PAS pilihan terbaik

PAS yang dipimpin manusia bagaimanapun diakui beliau, tidak lari dari kesilapan, kelemahan dan kekurangan, namun satu-satunya parti yang melaksanakan dasar Islam dalam pemerintahan.

Jelasnya, perubahan tidak akan berlaku segera dalam sepenggal, sebagaimana di Kelantan yang sudah lebih 30 tahun PAS menuntun pelaksanaan Islam yang disusun bersama perjalanan masa kerana melibatkan usaha merubah manusia.

Terang Mohd Amar, mengubah manusia adalah tidak mudah sebagaimana kerencaman yang dapat dihayati dari sirah Rasulullah SAW melibatkan para Sahabat RA dan rakyat pelbagai kabilah serta agama.

Apatah lagi sebutnya, usaha mempertahankan kemenangan lebih sukar berbanding untuk menang, selain perlu berdepan realiti masyarakat majmuk, namun boleh dicapai dengan izin Allah menerusi keazaman dan perancangan.

Oleh itu peringat beliau, walaupun wujud rasa tidak puas hati terhadap PAS, tetapi menukar parti ini dengan pilihan yang lain bukan menyelesaikan kepada masalah sedia dihadapi dalam banyak hal.

“Walaupun tiada pembangunan besar dan hebat (dibawa PAS), tapi (parti ini) juruh (baik). Orang (perempuan) nak pilih tok laki (suami), mana nak, kaya ke juruh?” ujarnya melontar pertanyaan kepada hadirin. 

Pemerintahan PAS katanya, terbukti dengan rekod bersih tanpa terbabit rasuah di mana dalam aspek pengajian sains politik ianya menjadi nilai terpenting bagi sesebuah kerajaan yang diberi mandat.

“Orang tak nilai pembangunan atau kemajuan kebendaan sahaja. Tetapi bersih atau disebut berintegriti, ada ‘good governance’. Kita (PAS) memerintah, kalah dan menang semula, tak (berlaku) khianat rakyat, tak ambil harta rakyat,” ujarnya.

Beliau menyeru rakyat supaya tidak mabuk dengan melihat perkara lahiriah semata-mata dalam menilai PAS sebagai kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta sebahagian Persekutuan ketika ini.

Nasihatnya juga agar rakyat tidak terikut-ikut secara mudah untuk menukar kerajaan bersih, prihatin dan menjaga rakyat sedia ada kepada kepimpinan yang buruk dan bermasalah.

Dato’ Amar memetik kisah pengajaran dari sikap Bani Israil yang setelah diselamatkan dari kezaliman kerajaan Firaun oleh Allah SWT dengan mengikuti Nabi Musa AS, namun mendesak pelbagai tuntutan lagi.

“Umno dulu perintah lebih 60 tahun. Orang tahu dah segalanya mengenai Umno. Jumpa tahi tengah jalanpun orang kenal itu tahi Umno. Mari PH (Pakatan Harapan) Allah tunjukkan (di sebalik dan hakikat sebenar mereka). Janjikan macam-macam akhirnya kata ‘manifesto bukan kitab suci’. 

“Lihat rekod Umno baik pada presiden mahupun bekas presiden. Nak sebut orang tahu belaka, puluhan tuduhan di mahkamah. Dah sabit kesalahan dan ada di peringkat Mahkamah Rayuan. 

“Bukan kes beberapa ringgit atau curi nasi kerabu, tetapi (melibatkan salah guna) berbilion. PH pun sama, cakap antirasuah, tapi pemimpin PH pun ada kes rasuah dan ke mahkamah. 

“Jadi, buat pilihan yang ada – PN (Perikatan Nasional). Tak kan nak beri balik ke Umno? Kita tahu dah dia perintah macamana. PH lagu tu juga setara mana. Sepatutnya lebih 60 tahun Umno perintah Malaysia dan PH 22 bulan perintah Malaysia kita boleh nampak dah,” bidasnya.

PAS berubah ‘kluk klek‘?

Akui ADUN Panchor itu lagi, ada orang mempertikaikan PAS kerana didakwa berubah-ubah di mana dahulunya baik dengan Umno, kemudian berbalah, tetapi setelah itu berbaik kembali.

“(Dulu) Balah dengan DAP, lepas tu baik, lepas tu balah pula, kenapa? Biasa la (dalam hubungan) orang nikah pun bercerai, orang bercerai (lepas itu) menikah. Kenapa nikah, kenapa bercerai? Mesti ada sebab. 

“Nabi sendiri ada masa berhubungan, ada masa berperang. Pindah (Hijrah) ke Madinah berbaik berpakat dengan Yahudi Bani Quraizah, Bani Nadir, Bani Qainuqa’. Lepas tu perang hingga hambat keluar semua Yahudi dari Madinah,” ujarnya.

Jelas beliau, PAS membuat banyak perubahan hanya pada pendekatan atau strategi atau kaedah mengikut keperluan semasa dan tujuan tetapi semata-mata demi kepentingan Islam.

Beliau memberi contoh orang dari Jerteh mahu ke Kota Bharu di mana boleh menggunakan pelbagai jalan sama ada melalui Pasir Putih, Machang, Besut atau Kenyir yang dipilih atas keperluan tertentu, namun tetap sampai kepada tujuan atau destinasi.

Namun tegas Dato’ Amar, PAS sejak ditubuhkan rasmi tahun 1951 tidak pernah berubah dasar dan matlamat perjuangannya iaitu Islam serta rujukan PAS adalah al-Quran, al-hadis, ijmak dan qiyas.

Tujuan-tujuan PAS terangnya, adalah untuk mewujudkan sebuah pemerintahan dan keadaan di mana masyarakatnya hidup dengan Islam dan hukum hakam Allah dilaksanakan. berjalan. 

“Sejak mula sampai hari ni tak berubah. Yang nampak berubah hanya pendekatan, strategi, kaedah.  Semua tindakan-tindakan politik kita ambil untuk kepentingan Islam. Tapi orang kata PAS gila kuasa dan ‘kluk klek‘. 

“Sedangkan sejarah penurunan al-Quran pun ada nasakh dan mansukh. Quran pun ada mansuh ayat dan hukum,” fahamkan beliau mengenai perubahan dilakukan kerana ‘maslahah’ selagi tidak bercanggah syarak.

Menurutnya, walaupun adakala keputusan PAS tidak disenangi ahli sendiri, mereka perlu faham bahawa semua itu turut dibahas dari aspek hukum Islam yang terkadang adanya darurat. 

Beliau memberi contoh ketika darurat, daging babi yang haram juga dihalalkan makan, namun fekah menetapkan sekadar keperluan untuk hidup menjaga ‘maslahah’ nyawa dan bukannya sehingga kenyang.

Memperluas lagi kefahaman tersebut beliau berkata, begitulah ketika parti mengarahkan supaya undi Perikatan Nasional (PN), maka mesti diberi undi ke situ sebagai strategi biarpun ia ‘tidak hijau’. – HARAKAHDAILY 17/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -