Pakar syor khidmat BRT diluaskan atasi kesesakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penawaran jaringan Perkhidmatan Transit Aliran Bas (BRT) yang lebih luas, merupakan antara alternatif yang dilihat mampu memperkukuh jaringan pengangkutan awam, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik di ibu kota.

Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia Dr S.Gobi Krishna berkata peluasan perkhidmatan BRT, meliputi kawasan berjauhan dengan pengangkutan rel dengan tambang munasabah, perlu dimaksimumkan menjelang 2025.

Ini bagi menjadikan jaringan sistem pengangkutan awam lebih efisien dan menyeluruh.

Katanya penggunaan BRT tidak semestinya memerlukan pembinaan infrastruktur jalan atau trek baharu, kerana boleh menggunakan laluan jalan raya sedia ada sekali gus mengurangkan kos pengambilan tanah untuk pembinaan.

“Misalnya di Lebuhraya Persekutuan telah pun ada lorong khas bas yang boleh ditukar guna dengan sistem perkhidmatan BRT, dan ia boleh diintegrasikan dengan stesen rel untuk tujuan pertukaran laluan untuk memberikan perkhidmatan yang optimum kepada pengguna pengangkutan awam.

“Bagaimanapun, tidak semua laluan dan lokasi boleh menggunakan jalan raya sedia ada, jika terlalu banyak perhentian, ia akan jadi seperti perkhidmatan bas henti-henti dan tidak mencapai matlamat sebenar,” katanya kepada Bernama.

Buat masa ini, bas BRT mempunyai laluan eksklusif melalui jalan raya bertingkat dan tidak berkongsi dengan lalu lintas kenderaan lain, dengan hanya satu laluan BRT beroperasi ketika ini iaitu Laluan BRT Sunway yang juga sebahagian daripada Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang.

Gobi Krishna berpandangan, BRT mampu melengkapkan kesalinghubungan pengangkutan rel yang telah dan sedang dibina melalui integrasi dengan Transit  Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), seperti yang dilaksanakan di BRT laluan Sunway-USJ 7.

Menurutnya antara laluan yang dikenal pasti berpotensi adalah Pusat Bandar Raya ke Ampang, Klang ke Pasar Seni, Damansara ke Kinrara serta Kepong ke Ampang, atas faktor kepadatan penduduk yang tinggi dan dilihat mampu menarik ramai pengguna.

“Pada masa kini, difahamkan RAPID KL sedang menjalankan kajian percubaan bagi dua laluan melibatkan perkhidmatan BRT iaitu Laluan 400 (Damai Perdana-Hab Lebuh Pudu) dan Laluan 640 (Sri Manja-Hab Pasar Seni). 

Beliau berkata BRT juga mampu menjadi perkhidmatan ekspres intra-bandar, yang dapat menyokong beberapa kawasan pembangunan ekonomi ke pusat bandar raya sekitar Lembah Klang, selain mewujudkan laluan orbital yang menghubungkan pusat daerah penting.

Selain menyediakan perkhidmatan berkapasiti tinggi di laluan strategik, BRT juga mampu menghubungkan kawasan luar atau pinggir bandar ke pusat bandar raya, seperti dilaksanakan di Curitiba (Brazil), Marrakesh (Morocco), Brisbane (Australia), Stockholm (Sweden) dan Ottawa (Kanada).

Memetik kejayaan pelaksanaan mod pengangkutan itu di Guangzhou China, Gobi Krishna turut mencadangkan faktor ditambah baik seperti keselamatan, fasiliti perhentian bas, tahap tampungan rangkaian perkhidmatan dan perkhidmatan tempat letak basikal serta laluan pejalan kaki yang selamat disediakan.

Baru-baru ini timbul pertikaian dalam kalangan pengguna media sosial, mengenai keperluan mewujudkan BRT di Lembah Klang sebagai penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dialami ketika ini, memandangkan pembinaan sepenuhnya sistem MRT memerlukan tempoh masa panjang dan hanya dijangka siap pada 2030.

Sementara itu Pensyarah Pengangkutan dan Logistik Universiti Teknologi MARA Prof Madya Dr Harlina Suzana Jaafar berpandangan, walaupun pelaksanaan sistem BRT melibatkan kos lebih rendah iaitu lebih separuh daripada LRT serta tidak memerlukan jangka masa yang panjang, namun ia juga perlu dilihat dari sudut ekonomi dan pelaburan jangka panjang.

“Kita juga perlu melihat sejauh mana ia memberi pulangan kepada ekonomi bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan tersebut, sebagai contoh dari segi kos perbatuan yang mana kos operasi BRT boleh jadi lebih tinggi dari LRT di sesetengah tempat, dan kos operasi LRT lebih tinggi dari MRT,” katanya.

Harlina Suzana berkata faktor jumlah penumpang yang boleh ditampung pada satu-satu masa juga perlu dilihat, kerana secara purata bas hanya boleh membawa 3,800 hingga 7,200 penumpang sejam manakala MRT pula boleh memuatkan 67,200 hingga 72,000 penumpang sejam.

Katanya ia bagi memastikan perkhidmatan disediakan bersesuaian dengan lokasi infrastruktur, bagi memberi impak positif kepada aspek sosial, ekonomi dan persekitaran.

Tambahnya pelaksanaan sebarang projek bagi mencapai kualiti perkhidmatan pengangkutan yang cekap dan berkesan, memerlukan kajian dan pelaksanaan jangka masa panjang dan bukannya secara penyelesaian secara ad hoc. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -