Kedah catat 11 peratus penurunan kes HFMD

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada Minggu Epidemiologi ke-23 (ME23) iaitu dari 5 hingga 11 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata pada ME23 itu sebanyak 702 kes baharu telah dilaporkan berbanding 789 kes pada minggu sebelumnya.

- Advertisement -

“Tiada wabak baharu HFMD dilaporkan sepanjang ME23. Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar dan tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

“Ini menjadikan jumlah kes HFMD di Kedah dari 1 Jan hingga 11 Jun lepas sebanyak 4,894 kes. Berbanding sebelum pandemik pada tempoh yang sama pada 2019, Kedah mencatatkan peningkatan sebanyak 507 peratus iaitu 4,088 kes,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,187 kes diikuti Kubang Pasu (726 kes), Kulim (699 kes) dan Kota Setar dengan 487 kes.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 50 wabak HFMD telah dilaporkan dengan 49 daripadanya berlaku di pusat pendidikan seperti taska, tadika dan prasekolah. Sebanyak 48 premis telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi dan pencegahan penyakit.

“Orang ramai yang mempunyai anak kecil dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa menjaga kebersihan diri, mencuci tangan dengan kerap, elak menghantar anak yang mempunyai gejala atau tanda jangkitan dan membawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -